Oleh Azlan Muhammad Zain

Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan maklumat terperinci terhadap hukuman dikenakan badan induk dunia FIFA terhadapnya.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan langkah berkenaan penting bagi menentukan tindakan lanjut bakal diambil FAM.

Jawatankuasa Disiplin FIFA semalam mengumumkan FAM dikenakan denda AS$40,000 (RM180,383) dan amaran, manakala perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) berlangsung tanpa penonton serta kemenangan 3-0 diberikan kepada Arab Saudi susulan insiden kekecohan penonton pada minit ke-88 aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu.

Penonton yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya membaling bom asap, membakar suar dan mercun sehingga memaksa perlawanan dihentikan dua minit sebelum tamat.

“Kami akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai keputusan dibuat itu serta asas digunakan untuk menghukum kami.

“Selepas itu FAM akan membuat keputusan sama ada untuk merayu atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Afandi berkata, sebelum ini badan induk negara itu sudah mengemukakan jawapan dan asas yang relevan menjawab surat tunjuk sebab FIFA.

“Pada masa sama FAM turut memaklumkan tindakan dan langkah keselamatan yang diambil,” tambahnya.

Sementara itu seorang lagi Timbalan Presiden FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad mengakui hukuman yang dikenakan FIFA agak berat.

“Namun jika ada ruang untuk mengemukakan rayuan, kita perlu ambil kesempatan. Denda mungkin dikurangkan atau dibenarkan bermain dengan penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:18 AM