MALAYSIA mungkin beraksi di stadium kosong.
MALAYSIA mungkin beraksi di stadium kosong.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Berdasarkan rekod buruk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, mereka perlu bersedia menerima hukuman berat badan induk antarabangsa FIFA susulan insiden kekecohan dicetuskan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam Selasa lalu.

Ini bukan kali pertama FAM bakal berdepan hukuman di peringkat antarabangsa selepas tahun lalu mereka terpaksa membayar hampir RM200,000 atas dua insiden kekecohan penyokong kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, tindakan segelintir Ultras Malaya yang membakar suar, bom asap dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dengan Arab Saudi ditangguhkan pada minit ke-88 dilihat cukup serius kali ini.

Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi Arena Metro tidak menafikan kemungkinan hukuman beraksi di stadium kosong akan dikenakan kepada skuad kebangsaan selain bayaran denda perlu dibayar FAM.

“FIFA dan AFC mengambil serius soal keselamatan jadi kami akan melihat perkara ini dengan teliti. Kalau kita lihat kepada insiden sebelum ini, kelab Al Hilal terpaksa beraksi tanpa penyokong di Arab Saudi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia hanya kerana penyokong mereka membaling botol ke dalam padang. Itu hanya membaling botol dan dalam insiden ini (di Stadium Shah Alam), apa yang berlaku lebih teruk.

“Memang maklumat daripada pegawai perlawanan dan pengadil sudah diterima namun FAM perlu menyediakan laporan lengkap mengenai insiden itu serta langkah yang mereka ambil untuk mencegahnya daripada berlaku,” katanya.

FAM sebelum ini didenda RM43,173 selepas Ultras Malaya bertindak membakar suar pada aksi persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Mac tahun lalu.

Hukuman lebih berat diterima FAM apabila terpaksa membayar RM151,108 apabila segelintir penyokong Malaysia bertindak menyerang peminat Vietnam pada aksi separuh akhir Piala AFF Disember tahun lalu.

FAM sudah menerima surat tunjuk sebab daripada FIFA pada 9 September, sehari selepas insiden kekecohan di Shah Alam dan perlu memberi penjelasan dalam tempoh 14 hari.

“FIFA akan menilai insiden ini untuk memutuskan dua perkara iaitu status perlawanan itu yang ditangguhkan sama ada kemenangan akan diberikan kepada Arab Saudi atau baki perlawanan akan diadakan semula.

“Perkara kedua, apakah tindakan disiplin bakal dikenakan kerana insiden kekecohan itu melanggar peraturan pertandingan. Segala keputusan ini akan diketahui sebelum perlawanan kelayakan seterusnya (13 Oktober),” jelas Windsor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:28 AM