Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda AS$40,000 (RM180,383) dan amaran susulan insiden kekecohan penonton ketika skuad negara menentang Arab Saudi dalam aksi Kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 8 September lalu.

Jawatankuasa Disiplin FIFA menerusi kenyataan di laman webnya, mengesahkan denda berkenaan selain kemenangan 3-0 diberikan kepada Arab Saudi untuk pertemuan yang ditangguhkan pada minit ke-88 itu.

Skuad negara turut diarahkan beraksi tanpa penonton untuk satu perlawanan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November.

“FIFA menghukum FAM selepas gangguan penonton yang serius berlaku sehingga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 Russia terpaksa dihentikan membabitkan Malaysia menentang Arab Saudi.

“Selepas menganalisa semua bahan terutama laporan pegawai perlawanan, rakaman video, dan gambar, perlawanan berkelas A seterusnya (menentang UAE) perlu berlangsung tanpa penonton. Jawatankuasa Disiplin turut mendenda AS$40,000 dan amaran kepada FAM.

“Sebagai tambahan, Malaysia juga dianggap tewas dengan jaringan 0-3 kepada Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, FAM didapati bertanggungjawab terhadap tindakan penonton yang melanggar artikel 6, perenggan 5 peraturan Piala Dunia 2018 Russia, artikel 56, artikel 65, perenggan 67.1 dan artikel 67 perenggan 3 Kod Tatatertib FIFA selain Peraturan Keselamatan Stadium FIFA.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-88 apabila Ultras Malaya bertindak membaling bom asap, membakar mercun dan suar sehingga membahayakan penonton, pemain dan pegawai perlawanan.

Tindakan berkenaan dilaporkan susulan perasaan tidak puas hati mereka selepas skuad Harimau Malaya yang dikendalikan Dollah Salleh tewas 0-10 kepada UAE.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:13 AM