INSIDEN penyokong Malaysia melontar suar ke dalam padang.
INSIDEN penyokong Malaysia melontar suar ke dalam padang.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Selepas melalui detik yang mencemaskan di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, jurulatih Arab Saudi Bert Van Marwijk berharap mereka tidak perlu kembali semula ke Malaysia untuk menghabiskan baki dua minit perlawanan menentang Harimau Malaya yang tertangguh.

Status perlawanan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 itu kini menjadi tanda tanya selepas terpaksa dihentikan pengadil dari Hong Kong Liu Kwok Man pada minit ke-88 angkara kekecohan yang dicipta Ultras Malaya yang membaling suar, bom asap dan mercun ke tengah padang.

Sehingga kini, badan induk bola sepak antarabangsa FIFA masih lagi mengkaji insiden itu sebelum memutuskan sama ada mahu mengekalkan keputusan 2-1 yang memihak kepada Arab Saudi, memberikan kemenangan 3-0 atau perlu menghabiskan baki perlawanan yang tertangguh.

Namun bagi Van Marwijk, 63, yang bergegas meninggalkan Stadium Shah Alam bersama anak buahnya selepas insiden itu menjangkakan FIFA bakal menghadiahkan kemenangan kepada mereka.

“Saya tidak boleh bayangkan kami terpaksa kembali semula (ke Malaysia) dengan penerbangan selama lapan jam hanya untuk bermain bola sepak selama dua minit,” katanya dalam laporan laman web sukan di Belanda www.vi.nl.

Aksi Arab Saudi menentang Malaysia itu adalah perlawanan kedua yang dikendalikan oleh Van Marwijk sejak mengambil alih skuad Green Falcons itu selepas kemenangan ke atas Timor Leste 6-0, 3 September lalu.

Van Marwijk yang pernah membimbing Belanda layak ke final Piala Dunia 2010 sebelum tumpas 0-1 kepada Sepanyol mengakui beliau dan semua pemain melalui pengalaman mencemaskan apabila Ultras Malaya ‘mengamuk’ pada perlawanan itu.

“Secara tiba-tiba kekecohan berlaku dan mereka membaling sesuatu ke dalam padang, tapi saya faham tindakan mereka itu adalah kerana protes kepada Persatuan Bolasepak Malaysia, bukan kepada kami.

“Pada satu ketika, ada roket (mercun) menuju ke arah kami jadi kami terpaksa mencari tempat selamat. Tiada apa yang berlaku dalam perjalanan kami ke hotel cuma kami rasa bimbang ketika berada di stadium,” katanya.

Mengulas mengenai aksi perlawanan selama 88 minit itu, Van Marwijk memuji kebangkitan yang dipamerkan Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee itu selepas dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi.

“Kami berdepan pasukan yang bersemangat selepas kekalahan besar. Pasukan yang bersemangat dengan jurulatih dan pemain baru yang memberi tentangan sengit bagi mengelak satu lagi kekalahan besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:05 AM