FAM bakal didenda FIFA ekoran insiden membaling suar oleh kumpulan penyokong.
FAM bakal didenda FIFA ekoran insiden membaling suar oleh kumpulan penyokong.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Shah Alam: Tiada jalan lain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bersedia menghadapi sebarang tindakan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Itu reaksi Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad yang hadir sendiri menyaksikan insiden memalukan dicetus kumpulan penyokong Ultras Malaya di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

“Sekiranya insiden ini digambarkan melanggar peraturan, anda perlu bersedia, apa lagi mahu dilakukan.

“Saya tidak tahu apa yang akan dilakukan FIFA, kami akan menunggu namun pada masa sama perlu bersedia terhadap sebarang persoalan yang mereka kemukakan.

“Kami perlu mengemukakan fakta dan sebagainya. Pelbagai faktor perlu dilihat dan diambil kira,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-88 apabila Ultras Malaya bertindak membakar suar, mercun dan membaling bom asap ke padang yang dipercayai bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan FAM.

Malaysia diaibkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 pada aksi ketiga kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 minggu lalu, kekalahan terbesar skuad negara di pentas antarabangsa.

Keputusan perlawanan malam kelmarin kini ditangguh dan menanti maklum balas FIFA dengan badan induk bola sepak negara dijangka berdepan hukuman.

Antara yang menjadi amalan FIFA adalah memberikan kemenangan 3-0 kepada pihak lawan, mengenakan denda dan kemungkinan beraksi tanpa penonton pada perlawanan akan datang.

Pada masa sama, Mokhtar berkata, secara peribadi beliau mahu bertemu dengan kumpulan berkenaan.

“Kami terlebih dulu perlu mengenal pasti mereka, adakah sebuah persatuan yang berdaftar. Jika benar berdaftar, ia lebih mudah kerana kami boleh menjemput ahli jawatankuasa mereka untuk berbincang.

“Kami berunding untuk mengetahui sebab dan cara untuk bekerjasama kerana mereka juga warganegara Malaysia. Sekarang kerosakan sudah dilakukan, kami perlu kaji dan tidak boleh menyepikan mereka,” jelasnya.

Mokhtar berkata, beliau akan menyuarakan perkara itu namun tertakluk kepada FAM kerana mungkin ia sudah dilakukan sebelum ini.

“Jika sudah dilakukan, apakah hasilnya? Adakah berkesan? Atau berulang kali kami sudah memujuk. Sejujurnya sekiranya niat setiap orang untuk menjaga imej negara, perkara ini tidak akan berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa FAM gagal mengawal keadaan, Mokhtar berkata beliau menghormati pandangan itu.

“Beliau mempunyai pendiriannya, saya hormati jika itu pandangannya,” katanya.

Ditanya mengenai kegagalan mengekang kemasukan suar, mercun dan bom asap ke dalam stadium, beliau menegaskan ia perlu diajukan kepada polis dan tidak mahu membuat kenyataan tanpa mendapat maklumat yang jelas mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 8:18 AM