MESKIPUN harganya murah, aspirin berupaya mengurangkan pembentukan darah beku.
MESKIPUN harganya murah, aspirin berupaya mengurangkan pembentukan darah beku.
PAKAR mendakwa aspirin umpama ubat ajaib yang perlu dijadikan perubatan utama kepada pesakit kanser.
PAKAR mendakwa aspirin umpama ubat ajaib yang perlu dijadikan perubatan utama kepada pesakit kanser.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Kebiasaannya mereka yang sakit kepala, demam dan lenguh-lenguh badan mengambil jalan singkat untuk pulih dengan memakan aspirin.

Ubat berwarna putih dan berbentuk bulat ini sering dianggap mujarab dan mampu meredakan kesakitan hanya beberapa jam selepas pengambilannya.

Namun, menurut satu kajian terbaru, ramai yang tidak menyedari keupayaan aspirin yang memberi hampir dua kali ganda peluang kepada pesakit kanser untuk meneruskan hidup.

Kajian itu mendapati 75 peratus daripada pesakit kanser yang mengambil dos harian aspririn dapat terus hidup selama lima tahun lagi meskipun disahkan menghidap barah usus, perut, pankreas atau tekak.

Penemuan itu ternyata mengejutkan kerana kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser yang tidak mengambil aspirin hanya 42 peratus.

Menurut pakar, aspirin ibarat ubat ajaib yang perlu segera disyorkan pengambilannya kepada semua pesakit kanser yang sudah didiagnosis.

Hasil kajian pasukan penyelidik Belanda itu turut mendapati aspirin dapat membantu menjaga prostat, payudara dan paru-paru penghidap kanser.

Dengan kos hanya RM2 untuk kegunaan sehari, ubat itu didapati dapat mengurangkan bilangan darah beku yang disembunyikan tumor.

Martine Frouws dari Pusat Perubatan Universiti Leiden yang mengetuai pasukan penyelidik yang membuat kajian membabitkan 14,000 orang

dewasa berkata: “Disebabkan harga aspirin murah, ubat tidak berjenama mungkin membawa beberapa kesan sampingan.

Ia memberi kesan besar kepada sistem penjagaan kesihatan serta pesakit.

Beliau menegaskan, harga aspirin sepatutnya lebih murah daripada rawatan peribadi yang diperjuangkan penyelidik perubatan.

Pesakit dalam kajian itu, secara amnya mengambil antara 80 hingga 100 miligram pil seperti yang ditetapkan bagi mencegah serangan jantung.

Sebanyak 43 peratus menghidap kanser kolon, 25 peratus kanser rektum dan 10 peratus kanser esofagus. Selebihnya mengalami barah perut, pankreas dan saluran hempedu.

Kajian itu dibentangkan pada Kongres Kanser Eropah di Vienna, baru-baru ini.

Jurucakap kongres berkenaan Profesor Nadir Arber berkata: “Aspirin mungkin boleh berkhidmat sebagai peluru ajaib kerana sasarannya dan mampu mencegah penyakit jantung iskemia, kanser dan penyakit Alzheimer. Ketiga-tiganya bencana kesihatan utama di alaf ini.”

Bagaimanapun, Penyelidik Kanser dari United Kingdom, Dr Aine McCarthy memberi amaran mengenai bahaya tersembunyi.

“Walaupun aspirin boleh didapati secara meluas, ia masih mempunyai kesan sampingan serius seperti pendarahan dalaman. Justeru, pesakit kanser tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil ubat itu tanpa berbincang dengan doktor terlebih dulu,” katanya.

Minggu lalu, sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat mengumumkan mereka sedang merekrut 3,000 wanita untuk menguji sama ada aspirin dapat menghentikan kanser payudara daripada berulang.

Pasukan dari Boston itu percaya, pil berkenaan boleh meningkatkan peluang hidup sehingga 50 peratus.

Berperanan sebagai ubat tahan sakit, aspirin berfungsi dengan mengurangkan tahap prostaglandin yang menyebabkan rasa tidak selesa, demam dan bengkak.

Ubat itu juga berperanan mencegah serangan jantung dan menghentikan zarah dikenali sebagai platelet dalam pengumpalan darah daripada membentuk darah beku.

Beberapa kajian lebih meluas sedang dijalankan di seluruh dunia untuk menguji manfaat aspirin terhadap pesakit kanser.

Dr Frouws bagaimanapun berkata, selagi keputusan itu belum diterima, aspirin tidak akan selamat kepada pesakit yang mengambilnya semata-mata untuk merawat atau mencegah kanser.

Kongres juga dimaklumkan mengenai ‘ubat ajaib’ dua dalam satu itu sudah menghasilkan keputusan luar biasa kepada pesakit yang kebanyakannya berhadapan dengan kanser kulit paling berbahaya.

Pesakit lelaki dan wanita dalam peringkat akhir melanoma malignan kini hidup hampir lapan bulan selepas diberi ‘dabrafenib’ bersama ­‘trametinib’ berbanding ubat-ubat utama.

Ia hasil terbaik dapat dilihat dalam percubaan mengguna pakai aspirin kepada pesakit kanser. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 9:50 AM