Dzulkifli  (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Kajian Kanser Makna 2016.
Dzulkifli (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Kajian Kanser Makna 2016.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Minat mendalam dalam bidang sains dan penyelidikan ternyata tidak sia-sia apabila tiga penyelidik muda menerima Anugerah Kajian Kanser MAKNA 2016 daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Akademi Sains Malaysia (ASM), Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di sini, semalam.

Lembaga Pemegang Amanah MAKNA Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, anugerah itu sebahagian daripada usaha penyelidik dengan kerjasama pihak universiti dan institusi penyelidikan dalam memajukan pengetahuan bidang sains.

“Bukan itu saja, penyelidik ini juga membantu mencari penawar melalui kajian yang dibuat untuk merawat pesakit kanser di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah itu.

Turut hadir Felo Akademi Sains Malaysia Tan Sri Dr M Jegathesan dan Pengurus Besar MAKNA Farahida Mohd Farid.

Dzulkifli berkata, MAKNA terus komited membantu penyelidik muda menjalankan kajian saintifik berkaitan penyakit kanser.

“Di ASM, penyelidik akan dibantu dalam mengembangkan pengetahuan baru dalam bidang sains dan kanser khususnya.

“Sejak anugerah ini diperkenalkan pada 2001, MAKNA telah menyumbang RM1 juta dalam pembiayaan penyelidikan kanser kepada penyelidik muda di Malaysia,” katanya.

Tiga penyelidik yang menerima anugerah berkenaan terdiri Profesor Madya Pusat Farmasi Sosial dan Pentadbiran Farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Asrul Akmal Shafie, yang menerima anugerah sebanyak RM29,800; Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul USM, Dr Oon Chern Ein dan Felo Penyelidik Institut Penjagaan Kesihatan Universiti Sunway, Dr Ronald Teow Sin Yeang, kedua-duanya menerima anugerah sebanyak RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 5:30 AM