LAKUKAN perbincangan dengan doktor.
LAKUKAN perbincangan dengan doktor.
Siti Nadirah Hafidzin

HAMPIR semua pejuang kanser mengakui tempoh berdepan pelbagai dugaan termasuk proses rawatan kanser bukan sesuatu yang mudah.

Pesakit yang melalui rawatan kanser sering kali merasai pengalaman bukan saja kesakitan dan rasa tidak selesa, malah mungkin juga akan mengalami kesan sampingan yang melemahkan tubuh.

Sesetengah pesakit mudah terdorong untuk mengambil produk tambahan yang menjanjikan penyembuhan atau memberi manfaat kepada kesihatan umum tanpa merujuk ahli profesional kesihatan terlebih dulu.

Kebanyakan daripada golongan ini adalah pesakit yang tidak mendapat penjagaan mencukupi selepas menjalani rawatan kanser untuk mengurangkan kesan sampingan atau yang terdorong melakukan apa saja untuk berasa lebih baik di saat berperang melawan penyakit itu.

Menurut Pegawai Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Dziehan Mustapa, purata pesakit kanser yang menggunakan ubat alternatif dianggarkan 31 peratus.

“Namun angka ini semakin meningkat sejak kebelakangan ini yang menunjukkan 65 peratus pesakit kanser menggunakan produk tambahan ketika menerima rawatan kemoterapi.

“Produk tambahan yang diperkatakan ini selalunya berunsur herba dan tumbuhan semula jadi kerana ia seolah-olah sudah sebati dengan masyarakat kini yang beranggapan sekiranya berunsurkan semula jadi pasti ia selamat,” katanya.

Menurutnya, persepsi ini menyebabkan segelintir pesakit memilih untuk tidak menerima rawatan kemoterapi di hospital kerana beranggapan ubat moden tidak selamat.

“Antara ubat yang digunakan dalam rawatan kemoterapi iaitu vincristine yang sebenarnya berasal daripada pokok periwinkle Madagascar.

“Pada asalnya pokok ini dikaji untuk manfaat secara tradisi yang digunakan dalam rawatan diabetes, namun kajian lanjut menunjukkan bahan kimia aktif daripada tumbuhan ini mempunyai potensi untuk dijadikan ubat kanser,” katanya.

BERBINCANG DENGAN DOKTOR

Menurut Mohd Dziehan, majoriti pesakit yang mengambil produk tambahan tidak berbincang terlebih dulu dengan doktor yang merawat.

“Herba dan tumbuhan semula jadi secara zahirnya mempunyai bahan aktif yang boleh memberi kesan interaksi dengan rawatan ubat-ubatan kanser.

“Kesan interaksi bahan aktif dalam herba dan tumbuhan semula jadi ini boleh mempengaruhi kadar serapan, edaran dalam tubuh, metabolisme dan perkumuhan ubat kemoterapi.

BERHATI-hati dengan ubat yang dibeli secara atas talian
BERHATI-hati dengan ubat yang dibeli secara atas talian

“Interaksi ini boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti gangguan pada peringkat enzim hati yang berfungsi menjalankan proses metabolisme ubat atau berinteraksi dengan pembawa ubat dalam darah untuk melintasi sel,” katanya.

Tambahnya, antara contoh herba yang boleh berinteraksi dengan ubat kemoterapi adalah St John’s Wort, ekstrak bawang putih dan Echinacea.

“Interaksi seperti ini boleh menyebabkan paras ubat kemoterapi dalam darah berkurang dan ia boleh membawa kepada kegagalan rawatan. Selain itu, interaksi disebabkan kadar metabolisme dan perkumuhan ubat yang terganggu boleh menahan ubat kemoterapi berada lebih lama dalam tubuh seterusnya mengakibatkan kesan sampingan yang teruk.

“Malah, segelintir masyarakat berpendapat, penggunaan produk tambahan berbentuk antioksidan dalam dos tinggi akan melindungi sel normal. Namun kajian praklinikal dan klinikal menunjukkan penggunaan produk tambahan antioksidan dalam dos tinggi ini melindungi sel normal dan sel kanser itu sendiri,” katanya.

Justeru, Mohd Dziehan berkata, pesakit tidak digalakkan mengambil produk tambahan antioksidan dalam dos tinggi ketika menjalani rawatan kemoterapi atau terapi radiasi kerana boleh menjejaskan kesan terapeutik yang dikehendaki.

“Malah, produk antioksidan seperti vitamin E juga berpotensi mengganggu rawatan yang diberikan. Sebagai contoh, terapi radiasi dan sesetengah ubat kemoterapi berfungsi dengan menghasilkan radikal bebas yang akan bertindak untuk memusnahkan sel kanser. Oleh itu, kehadiran antioksidan ini ia boleh menghalang fungsi atau kesan terapuetik rawatan atau ubat kemoterapi.

“Sehingga kini tiada bukti kukuh produk tambahan mampu merawat atau mencegah kanser namun ada bukti yang menunjukkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti yang besar sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kanser,” katanya.

Tambahnya, walaupun ahli profesional kesihatan kini memberi amaran kepada pesakit untuk tidak menggunakan produk tambahan dengan rawatan kanser yang diberikan, penyelidik dalam bidang kanser menggunakan herba dan tumbuhan semula jadi mencari jalan meningkatkan kesan ubat kemoterapi sedia ada.

“Jika anda pesakit kanser, bincang dengan doktor dan ahli farmasi yang merawat sebelum anda mengambil mana-mana ubat atau produk tambahan supaya ia tidak mengganggu rawatan kanser yang diberikan.

“Pesakit juga dinasihatkan untuk memastikan semua produk kesihatan yang dibeli adalah berdaftar dengan KKM,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli produk perubatan terutama ubat-ubatan secara dalam talian.

Laman Portal Program Perkhidmatan Farmasi KKM turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan ubatan di Internet kerana ia mengundang bahaya.

Berikut adalah tip sebelum melakukan pembelian ubatan atas talian yang dikongsikan Program Perkhidmatan Farmasi:

- Dapatkan nasihat daripada doktor atau pengamal perubatan bertauliah juga ahli farmasi sebelum membeli produk kesihatan.

- Hanya membeli ubat-ubatan yang berdaftar dengan KKM.

- Hanya dapatkan ubat melalui laman web yang dikendalikan ahli farmasi berlesen.

- Elak membeli ubat daripada laman web luar negara.

- Pastikan iklan ubat mempunyai nombor kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

- Jangan terpedaya dengan iklan dan janji manis terutama membabitkan penyakit kronik seperti kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:49 AM