PENGERUSI Lembaga Pemegang Amanah CRM, Toh Puan Dr Aishah Ong (tengah) memegang poster selepas melancarkan video kempen.
PENGERUSI Lembaga Pemegang Amanah CRM, Toh Puan Dr Aishah Ong (tengah) memegang poster selepas melancarkan video kempen.
Zaitie Satibi

Statistik menunjukkan sejak empat dekad lalu seorang daripada setiap empat pesakit kanser akan terselamat. Seiring dengan kemajuan teknologi, setiap dua daripada empat orang yang didiagnosis dengan kanser masih hidup hari ini. Walaupun benua Asia membentuk hampir separuh daripada populasi dunia, ia hanya menyumbang 10 peratus daripada penyelidikan yang dilakukan.

Sesetengah kanser yang biasa didapati di Asia tidak mendapat penyelidikan yang sepatutnya. Begitu juga dengan genetik yang berbeza dalam kalangan penduduk Asia apabila tiada penyelidikan dilakukan sekali gus boleh memberi kesan kepada risiko penyakit dan tindak balas terhadap rawatan.

Cancer Research Malaysia (CRM) berusaha mengubah keadaan ini dengan menjalankan penyelidikan untuk mencari langkah bagi meningkatkan tahap kelangsungan hidup pesakit kanser dalam kalangan penduduk Asia. Kebanyakan pesakit kanser pada hari ini dapat meneruskan hidup disebabkan penyelidikan lalu yang berjaya membalikkan kanser.

Organisasi penyelidikan kanser ini juga menganjurkan kempen Hari Membalikkan Kanser bagi meningkatkan kesedaran mengapa masyarakat perlu terus menyokong penyelidikan perubatan supaya tahap kelangsungan hidup pesakit dapat ditingkatkan. Bagi sambutan tahun kedua kempen yang disambut 2 April lalu,

CRM melancarkan video ‘Reverse The Views To Reverse Cancer’.

Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Profesor Datin Paduka Dr Teo Soo-Hwang berkata, kempen itu mempunyai misi tunggal untuk menyokong penyelidikan di rantau Asia yang memfokus pada mencipta penyelesaian pencegahan, pengesanan dan rawatan kanser yang berkesan sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser.

Fokus kempen tahun ini adalah video pendek naratif yang menampilkan personaliti berbeza daripada penghidap kepada bekas pesakit kanser, penjaga pesakit dan personaliti media sosial berpengaruh seperti Cody dan May Hong yang berkongsi pengalaman peribadi dan gesaan mereka agar lebih banyak penyelidikan dijalankan terhadap kanser dalam kalangan penduduk Asia.

“Setiap hari, seseorang yang kita kenali mungkin menghidap kanser atau kita mungkin kehilangan seorang ahli keluarga atau rakan akibat kanser. Tetapi, penyelidikan perubatan adalah sukar dan tidak boleh berjaya tanpa sokongan masyarakat.

“Oleh itu, kami berharap melalui penyampaian kisah sebenar pesakit kanser, masyarakat akan membantu kami dalam menemui kaedah yang lebih baik untuk membalikkan kanser,” katanya.

Katanya, CRM menerajui kajian bagaimana genetik Asia mempengaruhi risiko terhadap penyakit dan tindak balas terhadap rawatan. Pihaknya bekerjasama dengan pasukan antarabangsa untuk mencari kaedah yang lebih baik dalam mencegah dan mengubati kanser yang biasa di Asia.

Penyelesaian berorientasikan pesakit yang diterapkan mempunyai hasil positif terhadap wanita berpendapatan rendah.

Ini dicapai menerusi jalinan kerjasama dengan pasukan global dan tempatan untuk memastikan yang CRM membawa penyelidik terbaik untuk mencari penyelesaian terhadap kanser di Asia.

Kempen ini juga inisiatif utama CRM untuk membalikkan stigma mengenai kanser, mengubah isu besar menjadi kecil dengan memperjuangkan penyelidikan berkualiti untuk melawan kanser di semua bidang. Kempen ini menyampaikan mesej bahawa generasi akan datang boleh hidup di dunia di mana kanser dapat dikawal dan bukan lagi satu kebimbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:00 AM