MAIZUN (kanan) dan anaknya, Nur Fazlina Zainol, 27, menunjukkan salinan laporan polis serta gambar Maisarah yang hilang. FOTO Bernama
MAIZUN (kanan) dan anaknya, Nur Fazlina Zainol, 27, menunjukkan salinan laporan polis serta gambar Maisarah yang hilang. FOTO Bernama

Sungai Petani: Seorang ibu bimbang dengan keselamatan anak perempuannya berusia 17 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak sembilan hari lalu, merayu supaya segera pulang ke pangkuan keluarga.

Maizun Abdul Hamid, 53, berkata, Maisarah Zainol, anak ke-10 daripada sebelas beradik itu, kali terakhir dihantar abangnya, Zamri, 25, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, untuk kelas tambahan, pada 22 Sept lalu.

Anaknya itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memakai baju-T sekolah berwarna merah dan seluar berwarna hitam ketika ke kelas tambahan itu, katanya.

“Kira-kira 12 tengah hari, saya ke sekolah untuk menjemputnya tetapi dimaklumkan rakannya dia tidak mengikuti kelas.

“Malah, kelibatnya juga dikatakan tidak kelihatan di sekitar kawasan sekolah,” katanya di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda, dekat sini, hari ini.

Maizun berkata, mereka sekeluarga sudah mencari dan bertanya kepada beberapa rakan serta saudara terdekat mengenai anaknya itu tetapi tiada siapa yang tahu.

Katanya, sudah sembilan hari anaknya hilang tanpa khabar berita dan dia bingung kerana tidak ada perselisihan faham dalam keluarga sebelum ini yang mungkin menyebabkan remaja itu merajuk.

“Ada kenalan memaklumkan terlihat dia di beberapa tempat tertentu, namun selepas kami mencarinya di sana, ternyata dia tiada,” katanya.

Maizun berkata, suaminya sudah membuat satu laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda, pada 24 September lalu, berhubung kehilangan anaknya itu tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut.

“Sejak kehilangannya, tidur malam tidak lena. Malah, selera makan juga kurang. Hampir setiap hari saya menangis apabila terkenangkannya. Di mana dia berada, dengan siapa?,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat atau terlihat Maisarah di mana-mana, boleh menghubungi 017-480 8517. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 9:37 PM