Maizun (kanan) dan anaknya, Nur Fazlina Zainol, 27, menunjukkan salinan laporan polis serta gambar Maisarah yang hilang sejak 22 September lalu. - Foto BERNAMA (Fail).
Maizun (kanan) dan anaknya, Nur Fazlina Zainol, 27, menunjukkan salinan laporan polis serta gambar Maisarah yang hilang sejak 22 September lalu. - Foto BERNAMA (Fail).

Sungai Petani: Selepas dilaporkan hilang sejak 22 September lalu, remaja perempuan Maisarah Zainol, 17, kembali ke pangkuan keluarganya, Jumaat lalu.

Bapanya Zainol Ibrahim, 56, berkata selepas berita kehilangan anaknya disiarkan media, dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dari Lumut mendakwa Maisarah ada bersamanya.

"Pada mulanya saya tidak percaya. Wanita itu memaklumkan Maisarah berada dalam keadaan baik dalam jagaannya. Dia juga mendakwa kakak angkat Maisarah dan memaklumkan akan menghantar Maisarah ke stesen bas dan meminta kami menunggu di stesen bas Sungai Petani pada malamnya," katanya hari ini.

Zainol berkata, dia kurang yakin dengan wanita berkenaan dan meminta wanita terbabit menghantar anaknya terus ke Kampung

Rantau Panjang, dekat sini.

Wanita itu bagaimanapun menolak dan menyuruh Maisarah bercakap dengan dia sendiri.

Pada malam itu katanya, seorang anggota keluarga Zainol ke stesen bas Sungai Petani dan menemui Maisarah.

Zainol berkata, dia menarik balik laporan polis tentang kehilangan Maisarah, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, semalam.

Maisarah dilaporkan hilang selepas dihantar abangnya, Zamri, 25, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda pada 22 September lalu untuk kelas tambahan.

Anak ke-10 daripada 11 beradik itu gagal dikesan ketika ibunya, Maizun Abdul Hamid, 53, ke sekolah kira-kira 12 tengah hari untuk

menjemputnya pulang.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 7:58 PM