Tasek Gelugor: Seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun hilang ketika keluar beraya bersama rakannya di sini, sejak kelmarin.

Kanak-kanak terbabit, Nur Alya Maisarah, 12, hilang selepas keluar menunggang motosikal bapanya dari kediamannya di Taman Seri Desa, di sini.

Bapa mangsa, Nor Azizan Abdul Wahab, 34, dan ibunya, Roziah Majid, 33, hanya menyedari kejadian itu sejurus pulang menziarahi jenazah saudara mereka di Kulim, Kedah.

Nor Azizan berkata, dia dan Roziah keluar menziarahi jenazah saudara mereka jam 2 petang dengan membawa bersama empat orang anaknya berusia dua hingga 11 tahun.

“Saya dan isteri memaksa Alya yang juga anak sulung itu pergi bersama, namun dia menolak dengan alasan mahu bermain dengan rakan.

“Pada hari itu, kami tergesa-gesa memandangkan proses pengebumian jenazah dipercepatkan hingga saya dan isteri berhenti memaksanya,” katanya.

Difahamkan, Alya dilihat keluar menunggang motosikal Honda EX5 berwarna hitam bernombor plat PLD1391 memakai baju berlengan panjang berwarna kuning berjalur coklat dan tudung berwarna ungu lembut.

Orang ramai yang menemui Alya, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Buloh diminta menghubungi keluarganya di talian 017-4362872 atau menghantar murid itu ke balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 4:54 AM