Noor Habibah Maisarah hilang sejak tiga hari lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Noor Habibah Maisarah hilang sejak tiga hari lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


REMAJA perempuan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, Gua Musang dipercayai mengikut seorang lelaki.

Pelajar tingkatan lima, Noor Habibah Maisarah Mohd Hafizul, 17, itu disedari hilang oleh keluarganya selepas meninggalkan rumah pada awal pagi, Jumaat.

Ibunya Noorhasliza Hussin, 37, berkata, suaminya Mohd Hafizul Ibrahim, 39, sempat melihat anaknya membonceng motosikal ditunggang seorang lelaki kira-kira 1 pagi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Gua Musang,

Katanya, Mohd Hafizul yang cuba mengekori motosikal itu gagal mengesan mereka apabila hilang selepas memasuki simpang di kawasan perkampungan.

"Suami bekerja sebagai pengawal keselamatan di bandar dan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila terserempak dengan mereka yang menghala ke arah Gua Musang.

"Habibah membonceng motosikal Honda EX5 berwarna merah, gagal dikesan apabila memasuki perkampungan. Suami cari di Kampung Sungai Asap dan Kampung Limau Kasturi tetapi tidak menemui mereka.

"Saya bimbang keselamatannya apatah lagi dia keluar tanpa pengetahuan saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorhasliza berkata, sebelum kehilangannya, Noor Habibah Maisarah juga kerap berhubung menerusi Whatsapp dengan rakan yang disyaki mempunyai hubungan istimewa.

Katanya, dia bimbang pelajaran anaknya terganggu kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan baharu tiga hari ke kelas sejak sesi persekolahan dibuka, minggu lalu.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Jumaat lalu dan orang ramai yang melihat kelibat anaknya diminta menghubungi talian 011-40285379.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin mengesahkan menerima laporan kehilangan itu dan operasi mengesannya sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:48 PM