Rambutan Kuala Lumpur ialah novel mengenai kehidupan, memaparkan tema pembangunan pesat di kota besar sehingga mendatangkan kesesakan melampau, kesempitan hidup golongan bawahan di kota kosmopolitan, krisis kekurangan tenaga kerja di desa kerana penghijrahan anak muda ke bandar besar yang mewujudkan fenomena golongan tua ramai mendominasi desa.

Novel ini cuba menampilkan masalah kehidupan yang dialami golongan berpendapatan rendah di pangsapuri di ibu kota selain kehadiran gajet yang menyebabkan perubahan sikap terutama golongan kanak-kanak dan remaja.

Yasin di dalam novel ini mewakili golongan muda yang berhijrah untuk hidup di Kuala Lumpur. Kehidupannya berhadapan dengan situasi rumit apabila apa yang berlaku tidak seperti dirancangkan. Isu penerokaan alam sekitar untuk tujuan pembangunan yang semakin meruncing diselitkan bagi memberi warna realiti yang berlaku.

Jijah, suri hati Yasin adalah seorang isteri yang tabah dan setia kepada suami dan sanggup menuruti apa saja pendapatnya kerana memahami tuntutan kehidupan. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan akhirnya berkahwin dengan Yasin. Lalu berhenti kerja untuk memberi tumpuan untuk menjaga dan membesarkan anak.

Akhirnya pengorbanan besarnya ialah pulang semula ke kampung halaman untuk menjaga harta pusaka yang diamanahkan oleh ayah angkat Yasin selepas kematiannya. Ketika itu anaknya sedang belajar di institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Suaminya terpaksa tinggal di Kuala Lumpur walaupun sudah pencen untuk menjaga anaknya, Maisarah.

Maisarah yang meningkat remaja pula berhadapan dengan situasi yang amat sulit apabila terpaksa tinggal dengan ayahnya di rumah pangsa. Berbagai keraguan timbul di hatinya apabila berada di rumah, ini kerana teman baiknya pernah terbabit dengan peristiwa sumbang mahram. Kerana peristiwa itu teman baiknya berhenti sekolah dan menghilangkan diri.

Pendek kata berbagai tema lain yang disorotkan di dalam novel ini cuba menampilkan warna-warni Kuala Lumpur dari sudut kehidupan golongan bawah yang jarang mendapat perhatian penulis muda.

INFO

Judul: Rambutan Kuala Lumpur

Penulis: Enchelah Rajadewa

Terbitan: ITBM

Harga: RM25 (Semenanjung Malaysia) & RM30 (Sabah/Sarawak)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:01 AM