TIMBALAN Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri. FOTO Bernama
TIMBALAN Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri. FOTO Bernama
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kompenen pengukuran pencemaran PM2.5 akan dimasukkan di 52 rangkaian Stesen Pengawasan Kualiti Udara Kebangsaan selewat-lewatnya pada 2017.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, JAS sudah membangunkan Standard Kualiti Udara Ambien yang baru dengan memasukkan parameter PM2.5 sebagai satu daripada perkara utama yang akan dikira dalam penentuan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

"Kos untuk memasukkan parameter PM2.5 bagi 52 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Kebangsaan adalah RM6.24 juta, manakala kos operasinya menelan belanja sebanyak RM840,000 setahun.

"Ketika ini, 12 daripada 52 stesen sudah mempunyai parameter PM2.5, tetapi bacaan IPU di negara ini masih menggunakan PM10 memandangkan bukan semua stesen mempunyai komponen PM2.5," katanya dalam sidang media selepas menghadiri bengkel khas bersama media: Cabaran NRE dalam Pengurusan Sumber Asli dan Alam Sekitar Secara Lestari di sini.

Hamim berkata, walaupun terdapat perbezaan dalam kiraan bagi penggunaan PM2.5 dan PM10, namun skala bacaan IPU pada tahap baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya masih sama bagi kedua-dua parameter itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 1:59 PM