Fairul Asmaini Mohd Pilus


“KAMI terpaksa memakai topeng penutup hidung dan mulut meskipun sewaktu berada di dalam rumah kerana udara berbau asap terbakar yang kuat.

“Biarpun tidak selesa, namun kami tidak mempunyai pilihan, ” kata penuntut Malaysia di Jambi, Ahmad Ridha Alias, 28.

Menurut Ahmad Ridha, jerebu teruk melanda Jambi bermula malam Jumaat lalu dan kemuncaknya, langit bertukar merah pada petang Sabtu lalu terutama di kawasan Kumpeh Hulu.

Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Jambi masih lagi melebihi 500 iaitu berada di tahap merbahaya dan memburukkan keadaan, kawasan itu juga dilanda kemarau, namun hujan pada petang semalam sedikit sebanyak membantu memulihkan kualiti udara di kawasan itu.

“Langit di sini pada waktu tengahari berwarna kuning seperti waktu Maghrib dan keadaan sekitar memang gelap berbanding biasa.

“Begitupun, premis perniagaan mahu pun pejabat masih dibuka seperti biasa, hanya universiti dan sekolah sahaja yang ditutup sejak 22 September lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kata penuntut tahun empat, jurusan Syariah dan Perbandingan Mazhab, Universiti Islam Negeri Sulthan Thaha Saifuddin itu lagi, pihaknya juga sering berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Education Malaysia Indonesia (EMI) bagi memantau perkembangan terkini keadaan jerebu.

AHMAD Ridha Alias, 28, penuntut tahun empat,  jurusan Syariah dan Perbandingan Mazhab, Universiti Islam Negeri Sulthan Thaha Saifuddin, Jambi. FOTO Ihsan Ahmad Ridha
AHMAD Ridha Alias, 28, penuntut tahun empat, jurusan Syariah dan Perbandingan Mazhab, Universiti Islam Negeri Sulthan Thaha Saifuddin, Jambi. FOTO Ihsan Ahmad Ridha

Kata Ahmad Ridha, penuntut Malaysia di Jambi dianggarkan hampir 120 orang termasuk kumpulan pelajar baharu yang tiba semalam dan mereka dibekalkan dengan topeng penutup hidung dan mulut sejak seminggu lalu selain dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar.

“Meskipun ada kawasan yang diisytiharkan darurat namun Alhamdulillah, kami masih dalam keadaan selamat.

“Ada beberapa penuntut sebelum ini mengalami sakit tekak dan lelah tetapi tidak kritikal serta sudah pun mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Mengulas mengenai proses evakuasi, Ahmad Ridha berkata, jika tiada halangan, penuntut di Jambi akan dipindahkan ke Jakarta dan tanah air pada pagi esok.

“Maklumat lanjut mengenai proses pemindahan itu bagaimanapun belum diperoleh, namun penuntut di Jambi sudah diarahkan supaya bersedia,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun akhir jurusan Syariah, Syed Moksin Al Yahya berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kota Jambi, Jambi paling teruk berbanding kawasan lain di Sumatera.

Katanya, bacaan IPU pada Ahad lalu adalah pada tahap merbahaya iaitu melebihi 638, meningkat berbanding hari-hari sebelum.

“Namun, tidak semua penuntut Malaysia berada di sini kerana ada yang sudah pulang ke tanah air ekoran jerebu teruk yang melanda,” katanya.

Keadaan jerebu di Indonesia semakin buruk dengan tiga kawasan mencatat bacaan kualiti udara amat buruk iaitu sehingga hampir 800 menyebabkan langit Jambi menjadi merah mulai Sabtu lalu.

Menurut laporan Tribun News, IPU pada 12 tengah hari dikeluarkan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Isnin lalu, Jambi mencatat bacaan 763 manakala Pekanbaru, 694.

Indonesia menggunakan PM10 untuk mengukur Indeks Pencemaran Udara (IPU) manakala Malaysia berdasarkan PM2.5.

PM10 (particulate matter) ialah partikel bergaris pusat kurang daripada 10 mikrometer manakala PM2.5 partikel bergaris pusat kurang daripada 2.5 mikrometer.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:36 PM
PENUNTUT Malaysia di Jambi memakai topeng muka dan hidung walaupun berada dalam rumah. Gambar kanan, keadaan jerebu di Jambi. FOTO Ihsan Ahmad Ridha
PENUNTUT Malaysia di Jambi memakai topeng muka dan hidung walaupun berada dalam rumah. Gambar kanan, keadaan jerebu di Jambi. FOTO Ihsan Ahmad Ridha