PAKAR 20 negara cari penyelesaian termasuk baiki kadar pengesanan jangkitan.
PAKAR 20 negara cari penyelesaian termasuk baiki kadar pengesanan jangkitan.
Susunan Faizatul Farlin Farush Khan

Rantau Asia Pasifik mengambil langkah ke hadapan dalam usaha menghapuskan penyakit berbahaya seperti HIV dan sifilis, namun masih ramai ibu dan anak yang belum mendapat manfaatnya.

Usaha itu bagaimanapun menjadi topik utama dalam pertemuan wakil kerajaan dan pakar dari 20 negara pada perbincangan Pasukan Petugas Menghapuskan Jangkitan Sifilis dan HIV Daripada Ibu Kepada Anak Bangsa-Bangsa Bersatu Asia Pasifik ke-10 baru-baru ini.

Selain membincangkan mengenai cara menghapuskan jangkitan daripada ibu kepada anak, pertemuan itu turut mencari penyelesaian antaranya memperbaiki kadar pe­ngesanan jangkitan dan mengukuhkan pematuhan kepada program rawatan HIV.

Jangkitan baru HIV dalam kalangan kanak-kanak sudah menurun hampir satu pertiga dari 2000 hingga 2014.

Lebih ramai wanita mengandung yang hidup dengan HIV kini didiagnosis dan dirawat berbanding sebelum ini.

Peratusan wanita hamil positif HIV menerima rawatan adalah lebih dua kali ganda antara 2010 dan 2014. Bagaimanapun, kadar jangkitan masih meningkat di sesetengah negara. Jika tidak dirawat, wanita yang didapati HIV positif mempunyai sehingga 45 peratus peluang memindahkan virus itu kepada anak-anak mereka.

Menurut Program Kerjasama Bangsa-Bangsa Bersatu bagi HIV/AIDS (UNAIDS), berdasarkan laporan ‘Bagaimana AIDS Mengubah Semua’ yang diterbitkan baru-baru ini, terdapat 21,000 jangkitan baru dalam kalangan kanak-kanak di rantau Asia Pasifik pada 2014 iaitu purata 57 orang sehari.

Dengan rawatan yang betul, risiko seorang ibu memindahkan virus itu jatuh kepada kira-kira hanya satu peratus. Ujian dan rawatan sifilis ketinggalan berbanding HIV, sama ada pada dasar dan polisinya. Dua pertiga daripada negara di rantau mengesyorkan ujian sifilis dan sokongan kepada wanita, tetapi tahap sebenar ujian berbeza dengan ketara.

Sifilis boleh menyebabkan komplikasi serius kepada wanita hamil dan kanak-kanak yang belum lahir, termasuk kehilangan awal janin, mati ketika dilahirkan, kematian neonatal, berat lahir yang rendah dan jangkitan neonatal serius.

Pemeriksaan mudah dan kos efektif semasa mengandung diikuti dengan pilihan rawatan yang berkesan seperti penisilin boleh mengurangkan risiko komplikasi ini secara mendadak.

Menurut Pengarah Serantau Pasifik Barat Badan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Shin Young-soo, setiap wanita mengandung berhak menjalani ujian dan mendapat rawatan bagi penyakit sifilis dan HIV.

“Hanya kerajaan yang kuat, berdedikasi dan komited akan dapat menjamin ibu dan anak yang bebas daripada penyakit sifilis dan HIV,” katanya.

Kanak-kanak yang hidup dengan HIV sering tidak mendapat perkhidmatan yang mereka perlukan.

Hanya satu daripada empat kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang positif HIV di rantau Asia Timur Pasifik diuji sebaik dilahirkan manakala hanya kira-kira separuh daripada bayi yang dikenali sebagai HIV positif menerima rawatan yang diperlukan.

Menurut Pengarah Rantau Dana Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Asia Timur dan Pasifik Daniel Toole, tidak ada ibu atau kanak-kanak ketinggalan dalam mendapatkan rawatan dalam usaha menghapuskan HIV dan sifilis kini dan selamanya.

“Kita perlu pastikan setiap keluarga biarpun berada di kawasan paling sukar dicapai akan mendapat kemudahan ujian dan rawatan yang efektif,” katanya.

Seorang wanita positif HIV boleh menyebarkan virus itu ketika mengandung, kelahiran atau penyusuan.

Satu jadual pemulihan yang dikenali sebagai pencegahan jangkitan HIV ibu kepada anak atau PPTCT, menyediakan ubat-ubatan, kaunseling dan sokongan psikologi untuk membantu wanita yang hidup dengan HIV akan melindungi bayi mereka terhadap virus berkenaan.

Pengarah Pasukan Sokongan Rantau Asia dan Pasifik Unaids Steve Kraus, berkata, sekiranya semua negara di rantau Asia Pasifik menggandakan usaha mereka dalam memastikan semua wanita mengandung yang positif HIV diuji pada awal kandungan mereka dan mendapatkan rawatan perlu, kita akan berjaya menghapuskan jangkitan HIV kepada anak mereka.

“Cuba membuktikan kepada seluruh dunia bahawa perkara ini bukan sesuatu yang mustahil dan saya cabar negara lain dalam rantau ini menunjukkan komitmen mereka terhadap melahirkan generasi bebas AIDS,” katanya.

Pada Jun lalu, Cuba menjadi negara pertama di dunia yang menerima pengesahan daripada WHO menandakan ia berjaya menghapuskan jangkitan HIV dan sifilis antara ibu bapa kepada anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:01 AM