FADZILAH sering dijemput untuk memberi penerangan mengenai HIV dan AIDS.
FADZILAH sering dijemput untuk memberi penerangan mengenai HIV dan AIDS.
ANTARA program yang dijalankan untuk membantu pesakit.
ANTARA program yang dijalankan untuk membantu pesakit.
KELUARGA Fadzilah turut terbabit dalam kerja sukarelawan membantu pelatih RS.
KELUARGA Fadzilah turut terbabit dalam kerja sukarelawan membantu pelatih RS.
FADZILAH (belakang kiri sekali) bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan exco dan sukarelawan.
FADZILAH (belakang kiri sekali) bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan exco dan sukarelawan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Lazimnya apabila memperkatakan topik HIV dan AIDS, rata-rata masyarakat terus menjatuh hukum terhadap penghidap penyakit ini tanpa sekelumit simpati terhadap mereka.

Jarang juga yang menyedari ada antara penghidap penyakit membunuh itu juga terpaksa menelan musibah yang dihadiahkan oleh pasangan atau ibu bapa masing-masing untuk sepanjang hayat.

Jadi memang benar kata orang, hukuman sosial bagi penderita HIV dan AIDS umumnya lebih berat dibandingkan dengan penderita penyakit membunuh yang lain.

Menyedari stigma masyarakat terhadap penyakit ini menjadikan sukarelawan yang juga Pegawai Sumber Manusia dan Latihan Rumah Solehah (RS) Matron Fadzilah Abdul Hamid, 65, tekad membantu golongan ini keluar daripada kepompong kehidupan penuh noda dengan membimbing mereka kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain atau setidak-tidaknya kembali hidup bermasyarakat.

Hampir 30 tahun terbabit dengan pesakit HIV dan AIDS menjadikan jiwa Fadzilah begitu dekat dengan golongan ini hingga diberi kepercayaan untuk menguruskan RS sepenuhnya sejak 2010.

RS mula beroperasi dengan memberi perlindungan kepada wanita dijangkiti HIV pada pertengahan 1998 di bawah naungan Persatuan Perubatan Islam Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia cawangan STD/AIDS berpusat di Jalan Thaver, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pada 2000, RS mula mengambil kanak-kanak mangsa HIV yang memerlukan tempat perlindungan untuk memulakan hidup dan ditempatkan di Kampung Tasek Permai, Ampang.

Yakin dengan janji Allah yang sentiasa mengampuni umat-Nya yang benar-benar bertaubat atas dosa silam mereka, Fadzilah tidak sesekali merendahkan golongan ini sebaliknya sedaya upaya membantu mereka pulih dari segi mental dan berterusan menyuntik semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Siapalah kita hendak menghakimi orang lain. Pada dasarnya memang mereka nampak seperti penuh noda, tapi jika Allah kehendaki, pengakhiran hidup mereka juga boleh memperoleh husnul khotimah.

“Memang ada antara mereka yang merangkak untuk membaca al-Quran, malah ada yang hanya tahu perkara asas mengenai agama. Jadi di RS, saya bersama pasukan sukarelawan perlu membawa perubahan positif pada mereka untuk menghadapi hari mendatang,” katanya.

Katanya, RS memberi pertolongan dan penempatan sementara kepada wanita dan kanak-kanak HIV yang tersisih daripada keluarga dan masyarakat.

Bukan sekadar memberi sokongan moral dan kerohanian, RS turut mengurus rawatan lanjutan perubatan di samping menyediakan program kemahiran kerjaya untuk peningkatan diri.

Selain itu, RS turut gigih membentuk kumpulan wanita HIV positif yang bergerak aktif bagi mendidik dan memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat mengenai bahana HIV dan AIDS.

Katanya, kanak-kanak mangsa HIV dijaga dengan teliti dan penuh perhatian dari segi perkembangan dan pendidikan mereka sehingga hubungan antara mereka begitu akrab walaupun tiada hubungan saudara.

“Kanak-kanak yang menjadi penghuni RS kami anggap seperti anak-anak sendiri bahkan kasih sayang dicurahkan sepenuhnya buat mereka. Hingga ketika menjelang Aidilfitri, saya dengan rela hati membawa mereka ke kampung di Muar, Johor untuk berhari raya.

“Bukan hanya saya, suami dan anak-anak melayan mereka seperti saudara kandung, malah sanak saudara juga menganggap mereka seperti keluarga sendiri. Perkara seperti inilah yang membuatkan saya bersyukur dan terus bersemangat membantu golongan memerlukan,” katanya.

Mengimbau pengalaman wanita di sebalik RS ini, bekas Ketua Jururawat Hospital Kota Tinggi itu mula terbabit membantu pesakit HIV selepas dihantar menjalani latihan berkaitan penyakit itu di London selama tiga bulan pada 1994.

Beliau kemudian diminta ke cawangan AIDS Kementerian Kesihatan dan menjadi jurulatih kursus HIV peringkat kebangsaan bagi melatih kaunselor di enam agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Jabatan Penjara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pusat Serenti, Kementerian Kesihatan dan Majlis Aids Malaysia.

Menurutnya, beliau menjadi sukarelawan sejak awal penubuhan RS pada 1998 secara sambilan dengan menjadikan rutin mingguannya di pusat itu sebelum terbabit sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

Komitmen tinggi ibu kepada tujuh anak itu juga terserlah apabila mewakili RS bagi pembentangan mengenai HIV serta memenuhi jemputan di peringkat Asia dan antarabangsa termasuk di Islamabad, Chiang Mai Thailand; Singapura, Indonesia dan Karachi.

Kegigihan Fadzilah dan semua pihak yang menjadi penggerak RS nyata berbaloi apabila turut mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menerima Anugerah Tun Siti Hasmah.

Berdasarkan statistik 2011 yang dikeluarkan KKM, seramai 94,841 orang dijangkiti HIV dan AIDS.

“Angka berkenaan menurut pengiraan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) perlu didarab 10. Bagaimanapun, mengambil kira situasi setempat, di Malaysia jumlah itu hanya didarab dengan lima dan ini bermakna hampir setengah juta rakyat Malaysia adalah positif HIV dan AIDS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat terutama keluarga penghidap dapat sama-sama membantu memberi sokongan moral dan menerima mereka kembali walaupun ada antara mereka yang pernah terjebak dengan kehidupan penuh noda.

Katanya, walaupun kesedaran masyarakat sudah semakin meningkat dari sehari ke sehari, apa yang penting golongan ini tidak terus disisihkan sebaliknya memberi mereka peluang kembali ke pangkal jalan.

“Tidak semua penghidap virus ini dijangkiti kerana perbuatan mereka di masa silam, ada yang teraniaya dan menjadi mangsa keadaan, justeru tidak adil jika ada yang bersikap prejudis kepada mereka.

“Kami sentiasa memberi sokongan moral dan kerohanian kepada pelatih RS untuk berbalik kepada agama. Memang bukan mudah mengubah mereka sepenuhnya, tapi alhamdulillah rata-rata menunjukkan perubahan positif.

“Di RS, pelatih juga diajar cara menguruskan diri mereka semula menerusi latihan dan kemahiran seperti memasak dan menjahit supaya mereka dapat berdikari apabila keluar dari RS dan memulakan kehidupan baru,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes wanita yang ditempatkan di RS terdiri daripada gelandangan, pekerja seks atau mereka yang dijangkiti virus itu daripada suami, namun suami mereka meninggal dunia dan tidak diterima keluarga.

Walaupun menggalas tugas berat, Fadzilah yakin niat sucinya semata-mata mahu melihat wanita terbabit mendapat pengakhiran yang baik dalam hidup mereka seterusnya menemui Pencipta dengan cara yang husnul khotimah.

“Saya mendapat sokongan padu dan kepercayaan pasukan kami yang menguruskan RS ini. Ditambah dengan bantuan suami dan anak-anak yang tidak pernah jemu menyokong saya, mana mungkin saya mengundurkan diri daripada tugas kebajikan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 12:57 PM