FOTO hiasan
FOTO hiasan
UBAT

HUMAN Immunodeficiency Virus (HIV) adalah virus yang menyerang sistem pertahanan tubuh dan melemahkan keupayaan seseorang melawan jangkitan secara optimum.

Virus ini kekal sepanjang hayat di dalam tubuh pesakit yang dijangkiti. Namun, pengambilan rawatan antiretroviral secara berterusan dan saringan kesihatan berkala boleh melambatkan komplikasi jangkitan ini memasuki fasa terakhir akibat HIV, iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS).

Transmisi HIV

Penyebaran HIV berlaku melalui transmisi cecair badan daripada penghidap HIV kepada individu lain. Cecair badan itu merangkumi darah, air mani, rembesan faraj dan susu ibu penghidap HIV. Bagaimanapun, transmisi HIV berlaku sekiranya bendalir itu bersentuh dengan membran mukosa, luka atau melalui transfusi darah.

Faktor risiko

Antara faktor risiko jangkitan HIV ialah:

• hubungan seksual tanpa perlindungan dengan penghidap HIV positif;

• berkongsi jarum atau alat suntikan dengan penghidap HIV positif;

• pemindahan darah atau organ yang tercemar dengan virus HIV;

• mengalami kecederaan akibat tercucuk jarum yang tercemar dengan virus HIV dalam kalangan petugas kesihatan;

• jangkitan dari ibu HIV positif ke anak dalam kandungan, ketika kelahiran atau melalui penyusuan ibu.

Menurut ‘Country Progress Report on HIV/AIDS 2018-Malaysia’, kes HIV di negara ini dari 1986 hingga 2017 ialah 115,263 orang dengan 42,864 kematian.

Tingkah laku berisiko tinggi dan gejala sosial belia penyumbang masalah peningkatan HIV kalangan ini.

Golongan ini kebanyakannya kurang terdedah kepada informasi berkaitan langkah pencegahan, saringan kesihatan perlu dilakukan, kepentingan rawatan antiretroviral peringkat awal dan pelbagai aspek penjagaan penyakit HIV.

Selain itu, kewujudan stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV/AIDS menyebabkan golongan berisiko mengelak saringan dan rawatan awal.

Hal ini menyukarkan usaha memastikan kelangsungan rawatan dan sokongan psikososial.

Rawatan

Pada masa ini, jangkitan HIV tidak dapat dibasmi sepenuhnya. Namun, ubat-ubatan antiretroviral diguna bagi mengawal HIV dan membantu memanjangkan hayat serta meningkatkan kualiti hidup pesakit. Penghidap HIV yang patuh pada rawatan boleh menjalani kehidupan biasa.

Doktor akan menilai pesakit berdasarkan gejala dialami dan keadaan pesakit sebelum memulakan rawatan.

Rawatan penyakit HIV atau Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART) dimulakan sekiranya pesakit HIV memenuhi kriteria ditetapkan.

Antara contoh ubat-ubatan digunakan dalam rawatan HIV adalah seperti emtricitabine, zidovudine, lamivudine dan efavirenz.

Sebelum memulakan rawatan, pesakit diberikan kaunseling oleh doktor, ahli farmasi atau kaunselor yang dilatih dalam bidang rawatan penyakit HIV.

Informasi berkaitan cara pengambilan ubat, kesan sampingan dan kepentingan kepatuhan kepada ubat akan diberikan dalam sesi kaunseling itu.

Kaunseling penting bagi memastikan pesakit bersedia meneruskan rawatan sepanjang hayat dan mematuhi arahan pengambilan ubat.

Pesakit dinasihati mengambil ubat-ubatan antiretroviral pada masa ditetapkan dan menghadiri janji temu rawatan ulangan berkala bagi memastikan kesan rawatan optimum. Ketidakpatuhan terhadap terapi ubat-ubatan menyebabkan kegagalan rawatan.

Malaysia negara pertama di rantau Pasifik Barat memperoleh persijilan validasi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis dari ibu-ke-anak (eMTCT) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kejayaan ini dicapai dengan pelaksanaan ujian saringan kepada ibu mengandung dan rawatan diberi kepada ibu HIV positif dan bayi mereka.

Dalam usaha mengurangkan jangkitan HIV, kerjasama semua pihak diperlukan agar penyakit ini tidak terus menjadi pembunuh senyap.

Pendidikan awal bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap HIV amat penting supaya langkah pencegahan dapat diambil.

Bagi pesakit HIV/AIDS, jalani pemeriksaan dan dapatkan nasihat serta rawatan bagi menjalani kehidupan lebih sihat pada masa akan datang.

Pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center: NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh Hannah Abdul Halim,

Pegawai Farmasi di Hospital Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:00 AM