MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, UNESCO, Dr. Qian Tang (tiga dari kiri) semasa merasmikan Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Rantau Asia Pasifik 2016 di Hotel Marriott Putrajaya.
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, UNESCO, Dr. Qian Tang (tiga dari kiri) semasa merasmikan Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Rantau Asia Pasifik 2016 di Hotel Marriott Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) yang melabuhkan tirainya semalam akan menjadi titik mula kepada usaha negara di rantau Asia Pasifik bagi mencapai matlamat Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) 4.2 yang dimeterai pada Sidang Kemuncak Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2015.

Persidangan yang bermula pada Selasa itu menerima penyertaan memberangsangkan apabila 36 dari keseluruhan 46 negara daripada rantau Asia Pasifik menghantar menteri dan timbalan menteri pendidikan masing-masing, manakala selebihnya diwakili pimpinan pendidikan mereka.

Biarpun tidak semua hadir, namun ia satu persidangan dan forum yang bermakna memandangkan semua wakil negara rantau masing-masing memberi input yang berguna bagi menghasilkan resolusi penting yang dinamakan Deklarasi Putrajaya.

Deklarasi Putrajaya mengambil sembilan ketetapan, antara lain bersetuju untuk membangunkan polisi penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak secara lebih jelas; berstrategi dan mempunyai hala tuju khusus bagi keperluan kira-kira satu bilion kanak-kanak di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, Deklarasi Putrajaya adalah inisiatif penting dalam usaha mempercepatkan visi dan aspirasi agenda pendidikan sebagaimana ditetapkan SDG 4.2.

Beliau berkata, deklarasi itu akan menjadi daya penggerak bagi negara Asia Pasifik untuk bergerak ke hadapan dalam pembangunan yang lebih inklusif, saksama dan mampan dalam menggerakkan pendidikan awal kanak-kanak di negara masing-masing.

“Deklarasi Putrajaya juga menerajui inovasi ke arah keterangkuman dan kualiti penjagaan awal kanak-kanak dan pendidikan.

“Justeru, kita perlu sentiasa bekerjasama dalam mengukuhkan hubungan dan memupuk usaha yang dekat dengan hati kita iaitu menjaga anak-anak kita dan pendidikan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan APFEC 2016, di sini, semalam.

Katanya, forum tiga hari itu memberi peluang kepada semua menteri; timbalan menteri; delegasi; pendidik dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan mereka berkaitan penjagaan awal kanak-kanak dan pendidikan.

Kamalanathan berharap perbincangan yang diadakan bermaklumat dan memberikan pandangan serta pendekatan terkini dalam meningkatkan penyampaian dan penyelarasan penjagaan awal kanak-kanak di seluruh Asia Pasifik.

“Kurikulum yang hendak diketengahkan mesti menangani dimensi intelek; rohani; emosi dan fizikal kanak-kanak sekali gus melahirkan generasi masa depan yang berguna sepanjang hayat.

“Justeru, kanak-kanak perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dunia globalisasi berbekalkan pendidikan yang saksama dan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, biarpun Deklarasi Putrajaya menampilkan tindakan dan strategi yang perlu dilakukan oleh negara anggota, namun pelan tindakan itu masih tertakluk kepada keupayaan dan kemampuan negara masing-masing.

“Deklarasi itu berjaya mewujudkan satu rangka kerja awal untuk setiap negara di rantau Asia Pasifik, namun mereka boleh bergerak mengikut konteks masing-masing dan keupayaan dan kemampuan bagi menjayakan agenda pembangunan dan asuhan awal kanak-kanak.

“Jika mengikut perancangan, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menetapkan semua kanak-kanak lelaki dan perempuan mendapat akses kepada perkembangan awal, asuhan dan pendidikan pra sekolah yang berkualiti menjelang 2030,” katanya.

Katanya, di beberapa negara rantau ini, ada negara yang belum mencapai peratus yang tinggi berkaitan akses kanak-kanak terhadap pendidikan awal malah, ada antara negara maju sudah mencapai peratus dikehendaki.

Dr Khair berkata, Malaysia sendiri berjaya mencapai 50 hingga 60 peratus pencapaian, justeru sudah tiba masanya negara maju di rantau Asia Pasifik berkongsi bantuan dan kepakaran untuk membantu negara lain.

“Asia Pasifik mengambil langkah awal untuk mengambil ketetapan awal bagi memastikan kanak-kanak lelaki dan perempuan menerima pendidikan dan asuhan berkualiti sebelum memasuki alam persekolahan,” katanya.

APFEC 2016 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan; Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO); UNICEF dan Rangkaian Pendidikan Awal Kanak-kanak Asia Pasifik (ARNEC).

Ia adalah penganjuran kali kedua selepas kali pertama diadakan di Korea Selatan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:36 AM