GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


KES jangkitan seksual (STI) seperti gonorrhea, sifilis dan HIV/Aids khususnya dalam kalangan wanita di Sarawak semakin membimbangkan berikutan peningkatan kes yang direkodkan Jabatan Kesihatan negeri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, lebih membimbangkan, sebahagian besar kes itu membabitkan wanita yang sudah berkahwin yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Beliau berkata, peningkatan kes itu dikenal pasti berpunca kurangnya kesedaran pasangan mengenai penyakit berkenaan yang dibawa oleh suami yang dipercayai melakukan hubungan seks dengan wanita lain.

“Ini sesuatu yang harus diberi perhatian serius kerana yang menjadi mangsa ialah wanita atau suri rumah.

“Suaminya mungkin malu untuk mendedahkan penyakit yang dihidapinya kerana ia membabitkan bahagian alat sulit, namun perbuatan menyembunyikannya akan menyebabkan wanita iaitu isterinya turut menderita akibat penyakit itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penangguhan Program Self-Genius anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), di Kuching, hari ini.

Justeru, beliau menjelaskan kempen kesedaran khususnya kepada pasangan yang baru berkahwin perlu diperhebatkan.

“Cara paling berkesan untuk menangani masalah ini ialah meningkatkan kesedaran kalangan pasangan itu sendiri,” katanya.

Difahamkan, dalam tempoh 2011 hingga 2018, kes gonorrhea di negeri ini meningkat sebanyak 11 peratus, sifilis pula meningkat 20 peratus manakala HIV pula di tahap paling membimbangkan apabila mencecah 133 peratus.

Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 665 kes gonorrhea dan 453 kes sifilis direkodkan manakala kes HIV/AIDS pula merekodkan sebanyak 154 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 1:51 PM