TENGKU Amir Shah (kanan) melihat poster pameran sambil diiringi Dr Adeeba (kiri).  FOTO  Genes Gulitah
TENGKU Amir Shah (kanan) melihat poster pameran sambil diiringi Dr Adeeba (kiri). FOTO Genes Gulitah
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PURATA kerajaan membelanjakan hampir RM70 juta setahun untuk membiayai kos rawatan HIV dan AIDS sejak penyakit itu menjadi endemik di Malaysia 30 tahun lalu.

Data terakhir pada 2022 menunjukkan lebih daripada 75 peratus perbelanjaan kerajaan untuk HIV dan Aids adalah bagi menanggung kos saringan serta rawatan HIVditawarkan secara percuma di fasiliti kesihatan utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menanggung kos perolehan ubat-ubatan HIV yang dikenali sebagai Antiretroviral atau ARV.

Menurutnya, ini kerana rawatan itu mampu memberi peluang kedua kepada penghidap HIV untuk menjalani kehidupan normal dan bebas daripada gejala AIDS atau komplikasi klinikal akibat daripada jangkitan berkenaan.

"ARV bertindak dengan cara mengurangkan virus ke tahap yang tidak dapat dikesan dalam tubuh individu dijangkiti, sekali gus meningkatkan sistem daya tahan badan.

"Dari perspektif kawalan penyakit pula, ARV dapat menghalang jangkitan seksual HIV, selain menghalang jangkitan secara langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan," katanya.

Teks beliau dibacakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin pada Majlis Red Ribbon Gala Yayasan AIDS Malaysia (MAF) di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan.

Turut hadir Pengerusi MAF, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman dan Penaung MAF, Datin Paduka Marina Mahathir.

Majlis itu diadakan sempena ulang tahun MAF ke-30 dan berjaya mengumpul dana lebih RM1.8 juta menerusi jualan meja serta sumbangan.

DR Adeeba (dua dari kanan), Pengarah Urusan Pemandu, Larvin Rengasamy (kanan), Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunway Berhad dan Tan Sri Datuk Seri Jeffrey Chuah (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Red Ribbon Gala MAF 2023 serta disaksikan Tengku Amir Shah. FOTO  Genes Gulitah
DR Adeeba (dua dari kanan), Pengarah Urusan Pemandu, Larvin Rengasamy (kanan), Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunway Berhad dan Tan Sri Datuk Seri Jeffrey Chuah (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Red Ribbon Gala MAF 2023 serta disaksikan Tengku Amir Shah. FOTO Genes Gulitah

Beliau berkata, penemuan ARV mengubah naratif jangkitan HIV yang sebelum ini sering dimomokkan sebagai hukuman mati.

Katanya lagi, kepatuhan rawatan terhadap penyakit merbahaya yang dahulunya amat digeruni kini mampu diurus dan dikawal sebagai penyakit kronik.

"Justeru, rawatan itu diangkat sebagai tunjang kepada Pelan Strategik Nasional bagi mengakhiri AIDS yang menyasarkan 95 peratus daripada indIvidu hidup dengan HIV mengetahui status mereka, menerima rawatan HIV dan mencecah tahap virus tidak dikesan.

"Ada ramai majikan masih berada di takuk lama dan enggan mengubah pendirian mereka berkenaan isu produktiviti serta risiko penularan HIV di tempat kerja," katanya.

Jelasnya, ini dua hujah utama sering diguna pakai sebagai justifikasi menghalang orang hidup dengan HIV daripada mendapatkan pekerjaan.

Dr Adeeba berkata, Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam usaha memerangi HIV.

"Kami berusaha mewujudkan generasi bebas Aids, selain Malaysia menjadi negara kedua di Asia Pasifik menghapuskan jangkitan HIV daripada ibu kepada anak dan sifilis pada 2018.

"Selepas 16 tahun pelaksanaan program pengurangan kemudaratan terutama dalam program pertukaran jarum suntikan dan picagari terpakai (NSEP), ia berjaya mencapai matlamat mengurangkan jangkitan penggunaan dadah suntikan (IDU) di Malaysia.

"Inisiatif ini mengintegrasikan rawatan terapi gantian metadon untuk menangani dan mengawal penularan HIV dalam kalangan orang yang menggunakan dadah (PWUD)," katanya.

Beliau berkata, walaupun bilangan jangkitan baharu HIV di antara IDU sudah menurun dari 2005 hingga 2021, tetapi penularan seksual kekal punca utama dan penyumbang peningkatan kes kepada 2,641 pada 2021.

"Ini menunjukkan pendedahan kepada HIV bermula di sekolah dan golongan muda kurang pengetahuan mengenai HIV/Aids terutama punca virus itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:14 AM