KEKALAHAN kepada Everton terus dedahkan kepincangan Chelsea.
KEKALAHAN kepada Everton terus dedahkan kepincangan Chelsea.
INSIDEN perang mulut antara Mourinho dan Eva (kiri) petanda krisis dalaman Chelsea.
INSIDEN perang mulut antara Mourinho dan Eva (kiri) petanda krisis dalaman Chelsea.

Sewaktu Jose Mourinho (gambar) melangkah ke padang latihan, kakitangan Chelsea pergi ke bilik berhampiran atau meninjau di sudut tertentu bagi mengelak bertembung dengan pengurus mereka yang panas baran itu.

Tiada siapa yang mahu terserempak dengannya sejak kebelakangan ini apatah lagi dalam suasana yang begitu suram dan tertekan.

Mourinho tidak akan bercakap mengenai detik ketika beliau memaki doktor popular di kelab itu, Eva Carneiro sewaktu mereka seri 2-2 dengan Swansea City pada hari pembukaan musim Liga Perdana Inggeris.

Secara peribadinya, kakitangan kelab itu menyebelahi doktor berkenaan.

Ini adalah salah satu sebab mengapa Mourinho sukar memberi motivasi di bilik persalinan sekali gus mencetuskan pergeseran di antara beliau dan pemainnya.

Sudah lebih 36 hari Eva tidak bertugas dan Chelsea bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang yang akan menyaksikan mereka terpaksa menanggung kerugian beribu pound.

Mourinho pula enggan meminta maaf atau bertanggungjawab kerana mengeluarkan kata-kata kesat secara terbuka kepada kakitangan perubatan paling dihormati di kelab itu sewaktu kedua-duanya bertelagah.

Khabar angin menyatakan bahawa pasangan Roman Abramovich, Dasha Zhukova, selain isteri dan teman wanita pemain berpendapat Mourinho terlalu kurang ajar.

Beliau bergelut untuk menyatukan pasukannya, mencapai kata sepakat di bilik persalinan selepas mereka menanggung kekalahan ketiga musim ini di tangan Everton Sabtu lalu.

Ia satu aksi yang mengecewakan dan bahasa tubuh pemain ketika mereka melangkah keluar daripada bas pasukan membayangkan mereka sudah menyerah kalah.

Di mana lagak sang juara, yang sering dikaitkan dengan pasukan kendalian Mourinho?

Sesetengah daripada isu itu boleh dikesan sejak musim lalu dan kekecewaan pengurus itu terhadap Diego Costa menjadi semakin teruk disebabkan kecederaan hamstring dialami penyerang berharga £32 juta (RM212.3 juta).

Selepas Chelsea mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace pada 3 Mei lalu, Mourinho memberikan pemainnya cuti selama empat hari bagi membolehkan mereka meraikan kejayaan itu.

Costa yang pergi ke Madrid untuk berparti bagaimanapun pulang sehari lewat. Mourinho bertindak menying­kirkannya daripada skuad yang kemudiannya seri 1-1 dengan Liverpool pada 10 Mei dan ketika itu masalah membabitkan Costa menjadi semakin serius.

Sepanjang tiga minggu sebelum kelab itu dinobatkan sebagai juara, pelbagai aduan diterima mengenai bunyi bising dan parti di kediaman Costa. Ketika itu jaringan sudah semakin berkurangan.

Secara fizikalnya pemain Brazil itu sudah kembali cergas musim ini dan pemain Chelsea mengesahkan dia sudah kembali ke tahap kemuncak sejak musim panas namun dia hanya menjaringkan satu gol.

Radamel Falcao, penyerang sokongan yang berkongsi ejen sama, Jorge Mendes, seperti juga Mourinho, dibayar £150,000 (RM994,172) setiap minggu oleh Chelsea sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan kelab asalnya, Monaco. Dia kurang memberi impak.

Pemain turut menentang sistem autokratik Mourinho yang bagaimanapun berjaya, yang diamalkan sejak musim lalu. Oscar, Willian dan Eden Hazard misalnya mahu bermain dengan lebih gaya.

Namun Mourinho enggan berganjak dan hasil keputusan musim ini membuatkan beliau lebih berkeras.

Untuk menyelesaikan masalah ini pengurus perlu berdepan dengan jabatan dalaman yang mencipta begitu banyak konflik dan kembali memenangi hati pemain.

Inilah tahun yang sepatutnya menyerlahkan pemain akademi apabila Mourinho berjanji akhir musim lalu mahu menyerap masuk empat pemain remaja dalam skuad utama dan perkara ini mendapat sokongan Abramovich.

Semua orang di kelab ini tertekan untuk menamatkan penantian 18 tahun bagi memboleh­kan pemain skuad remaja diserapkan ke dalam skuad utama dan penantian itu nampaknya perlu diteruskan.

Wujud andaian bahawa Mourinho tidak akan membantu pemain muda dan ia satu teori yang menghalang jurulatih Portugal itu menggantikan Sir Alex Ferguson di Manchester United.

Sewaktu bertemu dengan Mourinho, lembaga pengarah kelab itu kurang yakin beliau akan meneruskan tradisi hebat membangunkan pemain muda.

Kebimbangan mereka berasas apabila 33 pemain Chelsea baru-baru ini dipinjamkan ke kelab lain.

Di peringkat akademi, apa yang mengejutkan adalah apabila Dominic Solanke, salah seorang penyerang muda berbakat di negara itu dipinjamkan ke Vitesse Arnhem.

Ramai berpendapat dia bakal menjadi penyerang keempat musim ini. Sebaliknya kelab berdepan krisis.

Ini minggu yang penting buat Mourinho bermula dengan perlawanan Liga Juara-Juara menentang Maccabi Tel Aviv sebelum menanti kunjungan Arsenal Sabtu ini.

Kali terakhir Chelsea menentang pasukan Arsene Wenger iaitu dalam perlawanan Perisai Komuniti di Wembley bulan lalu, Mourinho tewas kepada jurulatih Perancis itu buat kali pertama sepanjang kariernya.

Jika Mourinho tewas sekali lagi, beliau perlu mencari tempat berlindung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:01 AM