MOURINHO diletakkan sasaran untuk memenangi tiga trofi dalam satu musim. FOTO/AFP
MOURINHO diletakkan sasaran untuk memenangi tiga trofi dalam satu musim. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Jose Mourinho menandatangani kontrak lanjutan yang memastikan dia kekal di Manchester United sehingga 2020, menurut jurucakap kelab awal pagi tadi, menamatkan spekulasi dia tidak gembira di Old Trafford.

Mourinho muncul pengurus pertama United menang trofi utama dalam musim pertamanya apabila menjuarai Piala Liga musim lalu dan Liga Europa, trofi tunggal yang belum pernah dimenangi sebelum ini.

United mungkin boleh melupakan trofi liga selepas menduduki tangga kedua dan jauh ketinggalan dari segi mata di belakang Manchester City kendalian Pep Guardiola tetapi masih lagi mengibar cabaran dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara.

“Saya benar-benar bangga dan teruja menjadi pengurus Manchester United,” kata Mourinho, 54, dalam kenyataan kelab.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik dan Naib Pengerusi Eksekutif, Mr Ed Woodward yang menghargai kerja keras dan dedikasi saya. Saya hargai kepercayaan mereka memberi tugas ini kepada saya,” katanya.

“Kami menetapkan sasaran tinggi. Menang tiga trofi dalam satu musim (termasuk Community Shield) dan itu yang saya harapkan daripada pasukan ini.”

Mourinho dilantik menjadi pengurus United pada Mei 2016 dengan kontrak tiga tahun menggantikan Louis van Gaal. Kali terakhir Red Devils muncul juara liga ialah pada musim 2012/13 di bawah kendalian Alex Ferguson.

Sementara itu Woodward menyanjung tinggi kejayaan bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu.

“Tahap kerja dan profesional Mourinho tidak boleh dipertikaikan. Dia selalu berusaha meningkatkan tahap kualiti pemain muda,” katanya.

Awal bulan ini Mourinho menafikan laporan dia mungkin meninggalkan United selepas menganggap musim ini sebagai sampah.

Mourinho kelihatan tidak gembira dengan prestasi pasukan ketika itu dengan United tersingkir dari Piala Liga di tangan Bristol City.

Dia juga menafikan kecewa dengan bajet pasukan musim ini. Hasratnya tinggal di hotel berbanding dengan mencari rumah di Manchester telah disalah tasirkan sesetengah pihak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 11:19 AM