BESUT: Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri hilang setelah terjatuh ke dalam laut ketika memancing berhampiran Pulau Perhentian Kecil di sini, pada Khamis lepas, diteruskan walaupun keadaan laut bergelora.

Operasi mencari mangsa Ali Majid, 59, yang masuk hari keempat hari ini, membabitkan anggota skuba pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis marin berpangkalan di Tok Bali, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata keadaan cuaca cerah membolehkan operasi mencari mangsa yang berasal dari Kampung Pangkalan Atap, di sini, tertumpu di kawasan perairan berdekatan Pulau Perhentian Kecil termasuk Pulau Rhu dan Pulau Susu Dara.

“Tiga buah bot daripada pelbagai agensi digunakan dalam operasi mencari mangsa di hampir setiap kawasan perairan berdekatan pulau tersebut.

“Setakat ini, kita masih gagal menemui nelayan terbabit tetapi bot yang digunakan mangsa telah ditemui bersama bekas berisi ikan yang masih segar oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:25 PM