SEORANG anggota bomba  memantau keadaan pantai.
SEORANG anggota bomba memantau keadaan pantai.

Permaisuri: Kira-kira 10 bot nelayan membantu usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, bermula jam 8.45 pagi semalam selepas dihentikan jam 7 petang kelmarin.

Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, usaha mencari dan menyelamat Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, masuk hari ketiga berjalan lancar berikutan keadaan laut tenang dan kurang bergelora.

“Keadaan cuaca baik membolehkan operasi mencari mangsa dilakukan dengan lancar. Kawasan pencarian hari ini (semalam) diperluaskan sehingga 200 kilometer persegi dari tempat kejadian sehingga ke perairan Kuala Besut menggunakan empat bot JBPM dan dua bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pemantauan unit udara.

“Selain pencarian di permukaan air, rondaan di sepanjang pesisir pantai dilakukan di kawasan perairan pantai Merang, Penarik dan Kampung Mangkok.

“Seramai 82 anggota dari pelbagai agensi terbabit dalam operasi hari ini (semalam),” katanya.

Selain itu, katanya, solat hajat di kawasan pantai dilakukan ahli keluarga dan rakan mangsa serta penduduk setempat.

Dalam kejadian Isnin lalu, Muhamad Wafiq dikatakan mandi di pantai berkenaan bersama tiga rakan, Muhamad Naim Adnan dan Ahmad Izzat masing-masing berusia 17 tahun dan seorang lagi rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 10:03 AM