Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Identiti mayat wanita yang ditemukan terapung di perairan Pulau Perhentian, 18 Januari lalu, dikenal pasti sebagai warganegara Thailand.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pengesahan mangsa, Maehnah Mama, 70, dibuat berpandukan padanan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa dengan DNA adik perempuan serta anak mangsa.

Katanya, hasil maklumat daripada keluarga sebelum kejadian mangsa bersama suaminya keluar memancing serta menahan pukat sekitar Pantai Pattani, Thailandpada, 10 Januari lalu dengan menaiki bot.

"Bot dinaiki mangsa dipercayai karam sebelum operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada malam kejadian berjaya menemukan mayat suami mangsa kira-kira 3 pagi.

"Operasi berkenaan dipercayai diteruskan selama empat hari sekitar kawasan berkenaan namun gagal menemukan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rozak berkata, mayat mangsa kemudian ditemukan terapung di perairan Pulau Perhentian, kira-kira 11.30 pagi, 18 Januari lalu oleh pemancing sebelum mereka menarik dan mengikatnya pada tali unjang untuk mengelakkan ia dihanyutkan arus.

"Usaha untuk ke lokasi mangsa terpaksa ditangguhkan pada keesokan harinya kerana keadaan laut bergelora serta angin kencang.

"Mayat ditemukan hanya berbaju serta memakai sarung tangan kain, ketika ditemui dan pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan mangsa," katanya.

Katanya, pelbagai usaha menjejaki keluarga mangsa dilakukan termasuk melakukan hebahan tetapi tidak ada laporan kehilangan orang atau mangsa lemas dilaporkan berlaku dalam negara.

"Namun kami mendapat maklumat daripada seorang penduduk Pulau Perhentian berlaku kes bot karam di Thailand membabitkan suami isteri yang juga merupakan sepupunya dan mangsa belum dijumpai," katanya.

Beliau berkata, mereka meminta bantuan lelaki itu untuk menghubungi adik perempuan mangsa yang tinggal di Kota Bharu, Kelantan serta anak mangsa di Thailand bagi membuat pengecaman mayat serta ujian DNA.

"Berdasarkan pengecaman dibuat melalui pakaian mangsa serta padanan ujian DNA mengesahkan itu mayat mangsa bot karam di Pattani, Thailand dihanyutkan hingga ke Pulau Perhentian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada waris mangsa petang semalam untuk dikebumikan di Thailand," katanya.

Katanya, keadaan cuaca serta angin kencang berkemungkinan menjadi faktor mayat mangsa dihanyutkan jauh kira-kira lebih 60 batu nautika atau lebih 100 kilometer daripada tempat asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 5:32 PM