PERLAWANAN kelayakan antara Malaysia dan Arab Saudi tertangguh ekoran suar dilemparkan ke dalam padang  pada 8 September lalu. FOTO Osman Adnan
PERLAWANAN kelayakan antara Malaysia dan Arab Saudi tertangguh ekoran suar dilemparkan ke dalam padang pada 8 September lalu. FOTO Osman Adnan
Oleh Aziman Rosdi


Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus menerima tekanan apabila terpaksa memberikan penjelasan segera kepada badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA mengenai insiden kekecohan Ultras Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang mempengerusikan mesyuarat Exco FAM berkata, pihaknya sudah menerima surat tunjuk sebab daripada FIFA, Rabu lalu dan diberikan tempoh selama 14 hari untuk mengumpul segala maklumat berhubung insiden itu.

"Ini prosedur biasa apabila FIFA memberikan surat tunjuk sebab apabila berlaku insiden yang tidak diingini ketika perlawanan.

"Kami bersedia untuk memberikan maklumat yang diperlukan. Sememangnya FAM juga kecewa dengan insiden itu tapi kami sudah mengikut segala peosedur serta mengambil langkah keselamatan bagi perlawanan itu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Selain FIFA, FAM semalam turut diarahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk memberikan penjelasan kepada Pesuruhjaya Sukan dalam tempoh yang sama jika tidak mahu tindakan keras diambil termasuk digantung pendaftaran.

Afandi berkata, pihak FAM berharap untuk mengadakan pertemuan dengan Khairy bagi membincangkan mengenai kemelut yang melanda bola sepak tanah air ketika ini dalam masa terdekat.

Selasa lalu, Stadium Shah Alam bertukar menjadi seperti zon perang apabila segelintir Ultras Malaya membakar suar, bom asap dan mercun ke dalam padang sehingga memaksa aksi ditangguhkan pada minit ke-88 ketika Malaysia ketinggalan 1-2 kepada Arab Saudi.

Berita berkaitan:

FAM dalam bahaya: http://hmtro.com/1MfR83E

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 3:24 PM