Agensi

Dubai: Pakatan yang diketuai Arab Saudi mengerahkan 10,000 askar ke Yaman, lapor stesen televisyen Qatar Al-Jazeera semalam.

Langkah itu dilihat sebagai usaha bersungguh-sungguh pakatan berkenaan untuk menumpaskan pemberontak Houthi selepas 60 askar Teluk Arab terbunuh Jumaat lalu.

Pada masa sama, negara jiran Yaman itu turut memperhebatkan serangan udara terhadap Sanaa semalam sebelum melancarkan serangan besar-besaran ke atas bandar itu yang ditawan Houthi tahun lalu.

“Jumlah tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi yang memasuki Yaman meningkat kepada 10,000,” lapor koresponden Abdul Mahsi al-Sheikh dari selatan Arab Saudi.

Menurutnya, kontinjen kedua tentera Qatar tiba di Yaman semalam.

Tentera pakatan itu juga meningkatkan kelengkapan ketenteraannya dengan menambah 30 lagi helikopter Apache, kenderaan berperisai dan pelancar roket.

Pegawai Qatar dan negara terbabit tidak mengulas laporan itu.

Kerajaan Yaman melarikan diri ke Riyadh hujung Mac lalu apabila pemberontak Houthi yang mendakwa melancarkan revolusi terhadap mereka semakin hampir menawan Aden, bandar kedua terbesar Yaman.

Perkembangan itu turut mendorong campur tangan asing dan pertempuran yang menyebabkan lebih 4,500 orang terbunuh setakat ini.

Militan Houthi dan askar yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh melancarkan serangan misil terhadap sebuah kem tentera di Mareb, wilayah tengah Yaman Jumaat lalu, menyebabkan 60 askar Emiriah Arab Bersatu, Saudi dan Bahrain terbunuh.

Serangan itu adalah yang paling buruk menimpa tentera Teluk sepanjang peperangan itu dan menjadi titik perubahan dalam konflik berkenaan dengan pakatan Arab melancarkan serangan darat yang selama ini mereka cuba elakkan.

Akhbar Saudi Al-Sharq Al-Awsat memetik sumber pakatan sebagai berkata, sejumlah tentera Mesir dan 6,000 askar Sudan akan menyertai peperangan di Yaman sedikit masa lagi.

Kerajaan kedua-dua negara itu bagaimanapun enggan mengulas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 7:19 AM