SEORANG kanak-kanak memungut permainan dari runtuhan rumahnya yang musnah dalam serangan udara di Saada, bandar di timur laut Yaman,  semalam.
SEORANG kanak-kanak memungut permainan dari runtuhan rumahnya yang musnah dalam serangan udara di Saada, bandar di timur laut Yaman, semalam.

Riyadh: Dua pengawal sempadan Saudi terbunuh manakala lima yang lain cedera dalam serangan meriam yang dilancarkan dari Yaman di sempadan kedua-dua negara itu.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang disiarkan agensi berita rasmi Saudi (SPA), kejadian berlaku di Zahran Selatan, Asir, wilayah yang bersempadan dengan Yaman, kelmarin.

Kematian terbaru itu meningkatkan jumlah askar dan orang awam Saudi yang terbunuh di kawasan sempadan kedua-dua negara itu kepada sekurang-kurangnya 30 orang sejak pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Houthi di Yaman pada 26 Mac lalu.

Pakatan Arab melancarkan serangan ke atas Houthi dan sekutunya bagi menyokong tentera prokerajaan di negara berkenaan.

Tindakan itu mencetuskan sengketa bersenjata antara pemberontak itu dan tentera Saudi di sepanjang sempadan.

Bagaimanapun, sebahagian besar yang terbunuh di Saudi ialah orang awam.

Di Yaman, pertempuran selama beberapa minggu antara tentera prokerajaan dan pemberontak menyebabkan lebih 2,000 orang terbunuh dan lebih setengah juta lagi meninggalkan kediaman masing-masing untuk ke kawasan lebih selamat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:37 PM