DUA militan Houthi mengumpulkan peluru di kediaman panglima mereka di Sanaa yang musnah dalam serangan udara Pakatan Arab, semalam.
DUA militan Houthi mengumpulkan peluru di kediaman panglima mereka di Sanaa yang musnah dalam serangan udara Pakatan Arab, semalam.
Reuters

Sanaa: Pemberontak Houthi dan sekutu mereka mara ke tengah Aden, bandar kedua terbesar Yaman semalam, ekoran pertempuran sengit yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.

Dalam pada itu, pakatan yang diketuai Arab Saudi meningkatkan serangan udara untuk hari ketujuh berturut-turut selepas mengumumkan keputusan menghentikan serangan itu Khamis lalu.

Kira-kira 200 askar, anggota Houthi dan sekutunya terbunuh dalam serangan udara yang bermula 26 Mac lalu, kata seorang jurucakap yang turut mendakwa Pakatan Arab yang diketuai Saudi meningkatkan serangan, bukan menamatkan kempen peperangan mereka.

Di Aden, tentera yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi terpaksa berundur dari daerah Khor Maksar di tengah bandar raya itu selepas pemberontak menawan kediaman keluarga Abed Rabbo dan pejabat konsul Jerman serta Russia, kata seorang pegawai tempatan.

Antara yang terbunuh ialah sembilan Houthi sementara 11 mayat dibawa ke hospital yang dikuasai kerajaan di bandar berkenaan.

Abed melarikan diri ke Arab Saudi apabila pemberontak itu semakin dekat dengan Aden bulan lalu. Sejak itu, pertempuran sengit berlaku hampir setiap hari.

Houthi menerima sokongan dan bantuan daripada unit tentera yang masih setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh. Pangkalan mereka menjadi antara sasaran dalam kenpen serangan udara Saudi. Sebuah daripadanya di Sanaa, bandar yang dikuasai Houthi, dibom awal semalam.

Saksi juga melaporkan serangan udara turut dilancarkan ke atas Houthi dan sekutunya di Marib, wilayah di timur Sanaa yang kaya dengan minyak, di sekitar Taez, bandar ketiga terbesar Yaman dan pelabuhan Hodeida di Laut Merah.

Jurucakap Houthi berkata, 112 askar yang setia kepada Abed Rabbo, 43 polis dan 45 militan kumpulan itu mati sejak kempen serangan udara dilancarkan lima minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 10:01 AM