SEBUAH bangunan yang runtuh di Sanaa selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi, semalam.
SEBUAH bangunan yang runtuh di Sanaa selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi, semalam.
AFP

Riyadh: Arab Saudi yang mengetuai serangan terhadap pemberontak Houthi di Yaman menghantar lebih banyak kenderaan tentera dan askar ke negara jirannya itu semalam sebagai persiapan melancarkan serangan untuk menawan semula Sanaa, ibu negara Yaman.

Pasukan tambahan itu dikerah ketika serangan udara terbaru pakatan Arab menyebabkan tujuh pemberontak terbunuh di timur Yaman.

Helikopter Apache dilapor turut digunakan dalam serangan itu.

Seorang wartawan di Wadia, pos sempadan Arab Saudi dan Yaman berkata, dia melihat sekurang-kurangnya 40 kenderaan tentera menyeberang masuk ke Marib, wilayah Yaman yang kaya dengan minyak.

Kenderaan itu membawa askar Yaman yang dilatih di Arab Saudi serta askar pakatan yang kerakyatannya tidak disahkan oleh pegawai.

Perkembangan itu dilaporkan beberapa jam selepas duta khas Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman Ismail Ould Cheikh Ahmed berkata, kerajaan dalam buangan negara itu dan pemberontak bersetuju menyertai rundingan damai yang dijadual berlangsung minggu depan.

PBB menganggarkan lebih 4,500 orang terbunuh dalam konflik yang berlaku di negara itu sejak Mac lalu.

Negara Teluk Arab, termasuk UAE dan Qatar dilapor menghantar ribuan askar tambahan bersenjata berat ke Yaman, khususnya ke Marib sejak minggu lalu sebagai persiapan untuk menggempur Sanaa.

Kerajaan dalam buangan Yaman pimpinan Abed Rabbo Mansour Hadi juga mengumumkan 10,000 pejuang Yaman kini bersedia berkhidmat dalam pasukan tentera kebangsaan bagi membebaskan Sanaa dan wilayah lain.

“Persiapan untuk operasi besar-besaran bagi membebaskan wilayah Marib dan Jawf di utara akan dilancarkan untuk membolehkan kami memasuki Sanaa,” kata seorang pegawai kanan tentera Yaman.

Pakatan prokerajaan meningkatkan serangan terhadap Houthi selepas serangan misil minggu lalu menyebabkan 60 askar Teluk mati, kebanyakannya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:12 AM