Oleh Asrol Awang


Kuantan: Diaibkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 di Abu Dhabi menjadi punca Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar kecil) mengumumkan kesediaannya melepaskan jawatan secara berperingkat dan memberi laluan kepada individu lain, semalam.

Tengku Abdullah, yang memegang jawatan presiden badan induk itu sejak 2014, amat marah dengan kekalahan memalukan kepada UAE pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 minggu lalu.

“Bukan saja banyak pihak marah apabila Malaysia tewas 0-10 kepada UAE. Selaku Presiden FAM, saya lagi marah dan kecewa dengan kekalahan besar yang dipersembahkan pemain negara.

“Saya boleh terima skuad negara tewas tapi bukan dengan jaringan besar dan kecil hati dan hampa terutama 10 gol yang dijaringkan lawan sukar untuk ditelan.

“Saya harap kekalahan besar ini dijadikan pengajaran terbaik dan dengan kekalahan seteruk ini, saya tak boleh kata apa-apa sepatutnya pemain dan jurulatih mendapat kesedaran.

“Saya harap Exco FAM menerima keputusan ini (berundur) untuk kebaikan bola sepak negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Perkhidmatan Kardiotorasik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Tengku Abdullah berkata, beliau tidak mempunyai hak untuk menyekat kemarahan semua pihak susulan kekalahan besar itu kerana tugas badan induk itu adalah melantik jurulatih untuk membentuk sebuah pasukan.

Bagaimanapun, katanya, secara dasarnya pemilihan Dollah Salleh selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya bukan pilihannya dan beliau sudah beberapa kali menyatakan perkara itu.

“Ini bukan alasan tapi saya pada awalnya mahu FAM melantik jurulatih luar negara untuk mengendalikan skuad negara tapi apa yang saya terkilan, mereka (Exco FAM) memilih Dollah.”

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata, beliau akan meminta FAM melantik Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah sebagai pemangku presiden untuk memantau skuad bola sepak negara bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2023.

“Buat masa ini... saya masih layak memegang jawatan presiden secara merit hingga 2018 dan selepas itu saya akan lepaskan jawatan yang dipegang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:43 AM