myMetro

Petaling Jaya: Sama ada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu mengubah pendirian atau tetap dengan hasratnya meletakkan jawatan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal diketahui hari ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Tengku Abdullah hari ini bagi memaklumkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Isnin lalu yang menolak surat peletakan jawatan presiden itu.

“Saya mewakili Exco FAM akan menghadap Tengku Abdullah esok (hari ini) bagi menyampaikan keputusan Exco yang sebulat suara menolak hasrat beliau meletak jawatan.

“Exco FAM berpendapat kepimpinan Tengku Abdullah masih lagi diperlukan untuk mengetuai badan induk bola sepak negara selepas beliau dipilih ahli gabungan pada pemilihan Mei 2014,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis pengumuman hak penganjuran Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) kepada Liga Bola Sepak Rakyat Sdn Bhd bagi tempoh 10 tahun.

Tengku Abdullah mengumumkan untuk mengundur diri daripada menerajui FAM susulan kekalahan memalukan skuad Harimau Malaysia 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada September lalu.

Arena Metro kemudian melaporkan beliau turut menghantar surat peletakan jawatan November lalu sehingga isu itu diputuskan Exco FAM Isnin lalu.

Jika melihat kepada keputusan Tengku Abdullah sebelum ini, beliau mahu Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah memangku tugas sepanjang ketiadaannya hingga tamat penggal pada 2018.

Namun Hamidin tidak mahu membuat spekulasi awal sebaliknya mahu perkara itu diputuskan menerusi pertemuan hari ini sebelum tindakan susulan diambil.

“Pada pertemuan itu nanti, saya akan menjelaskan secara terperinci mengenai hasrat Exco untuk menolak peletakan jawatan itu. Apa juga tindakan susulan daripada Tengku Abdullah akan dimaklumkan kemudian sama ada menerusi kenyataan beliau sendiri atau kenyataan rasmi FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:12 AM