Kim Swee ganti Dollah buat sementara waktu. FOTO NSTP
Kim Swee ganti Dollah buat sementara waktu. FOTO NSTP
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, 45, sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan berikutan peletakan jawatan Dollah Salleh, 52, sebagai ketua jurulatih kebangsaan, semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, FAM menjelaskan, selepas mendapat perkenan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, FAM memutuskan untuk menerima peletakan jawatan Dollah yang disifatkan sebagai seorang yang matang dan bertanggungjawab di atas kegagalan pasukannya itu.

Bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Dollah, FAM bersetuju melantik Kim Swee sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan berkuatkuasa serta merta bagi menghadapi perlawanan keempat kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada Selasa dan seterusnya sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Pemilihan Kim Swee dibuat atas dasar beliau seorang jurulatih yang berpengalaman termasuk pernah menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan selama empat bulan pada tahun lalu iaitu dari 3 Februari 2014 (selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat) hingga 28 Jun 2014 (selepas Dollah dilantik ketua jurulatih kebangsaan yang baru).

Selain itu, Kim Swee turut masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga penghujung tahun ini selepas membimbing skuad B-23 negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun lalu.

Selepas pemilihan itu dibuat semalam, Kim Swee menyatakan komitmen untuk menerima tawaran menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan dan membawa bersama penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney serta jurulatih penjaga gol skuad B-23 negara, Yong Wai Hwang untuk menggantikan tempat dua penolong jurulatih kebangsaan, Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail serta jurulatih penjaga gol kebangsaan, Omar Salim.

Sementara itu, FAM memberi tanggungjawab kepada Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (task force), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang juga Timbalan Presiden FAM untuk memulakan proses pencarian jurulatih asing bagi skuad kebangsaan pada masa akan datang, jika difikirkan sesuai.

Khamis lalu, Malaysia ditewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 sekali gus kekalahan terbesar dalam sejarah skuad bola sepak negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 10:15 AM