Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Roberts Alberts (gambar) tidak ‘serik’ untuk berkhidmat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meskipun sebelum ini perancangannya membangunkan bola sepak negara ketika menjadi Pengarah Teknikal badan induk itu pada 2007-2009 tidak kesampaian.

Jurulatih berusia 61 tahun dari Belanda itu kini dilaporkan antara calon pilihan untuk merebut jawatan mengendalikan Harimau Malaya selepas kontraknya bersama Sarawak berakhir tahun ini.

Menurut Alberts, beliau agak terkejut apabila namanya dikaitkan dengan kerusi panas skuad kebangsaan itu namun bersedia kembali jika FAM memberi kepercayaan kepadanya.

“Tugas mengendalikan skuad kebangsaan sesuatu yang mencetuskan inspirasi kepada mana-mana jurulatih jadi sememangnya saya menantikan keputusan yang bakal diumumkan FAM.

“Jika kembali semula ke FAM, ia jawatan berbeza kerana dulu saya menjadi pengarah teknikal yang merencana pembangunan keseluruhan bukan saja pemain senior.

“Saya tidak tahu siapa yang akan menjadi pilihan FAM tapi saya berminat membantu skuad kebangsaan ke peringkat lebih baik,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan tiga daripada 84 calon dikatakan sudah disenarai pendek Jawatankuasa Bertindak Khas FAM untuk dibuat penilaian akhir sebelum dilantik jurulatih baru Harimau Malaya.

Kerusi panas itu dikosongkan selepas Dollah Salleh meletakkan jawatan pada 4 September lalu susulan kekalahan besar 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi.

Selain Alberts, turut menjadi perhatian jawatankuasa itu pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak.

Alberts yang membantu Kedah memenangi Piala Malaysia pada 1993, Arema FC Liga Super Indonesia 2009/10 dan Sarawak Liga Perdana 2013 tidak bercadang ‘menghidupkan’ semula ‘Road Map’ ketika bersama FAM sebelum ini.

“Saya tidak akan bawa semula Road Map itu kerana FAM sudah ada pengarah teknikal dan tugas jurulatih adalah bekerjasama dengannya,” jelas Alberts.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:03 AM