Oleh Asrol Awang


Pekan: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak dapat menerima kekalahan memalukan dipersembahkan skuad Harimau Malaya apabila dibelasah 0-6 di tangan Palestin, kelmarin.

Tengku Abdullah yang terkejut dengan keputusan itu percaya bukan saja beliau malah rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak negara turut kecewa dengan persembahan mengecewakan itu.

Katanya, alasan diberikan berikutan kekalahan itu tidak dapat diterimanya kerana skuad Harimau Malaya sudah membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi kempen kelayakan itu.

“Saya tidak boleh terima apa saja alasan diberikan skuad Harimau Malaya. Saya amat terkejut dan hampa dengan keputusan itu dan saya percaya peminat juga kecewa.

“Berikutan kekalahan ini, saya sudah mengarahkan Setiausaha Agung FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) mengadakan segera mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bagi mengenalpasti punca kekalahan memalukan ini.

“Saya juga mahukan jawapan segera daripada ketua jurulatih (Dollah Salleh) dan kita tengok apa yang boleh kita buat selepas mesyuarat itu kelak. Mungkin akan berlaku rombakan dan sebagai ketua jurulatih, Dollah perlu bertanggungjawab atas keputusan perlawanan itu dan aksi longlai anak buahnya,” katanya.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, skuad kendalian Dollah dimalukan Palestin dengan kekalahan besar 0-6 sekali gus menempah laluan sukar untuk melepasi saingan kumpulan pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Terdahulu skuad negara juga seri 1-1 dengan pasukan belasahan sebelum ini, Timor Leste yang sudah memperlihatkan kelonggaran barisan yang dianggotai ramai pemain veteran - satu pendekatan kebelakang diambil Dollah yang sebenarnya menjerat dirinya sendiri.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad Harimau Malaya gagal mencatat kemenangan di gelanggang sendiri buat kali kedua berturut-turut .

Dua lagi pasukan yang bakal ditentang adalah jagoan Asia Barat iaitu Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi pada 3 dan 8 September depan.

Tengku Abdullah berkata, jawatankuasa itu perlu membuat ‘post mortem’ dan mengambil langkah drastik termasuk mengkaji semula prestasi Dollah selepas dipilih untuk menyandang jawatan itu.

Katanya, jawatankuasa itu perlu mengkaji prestasi ketua jurulatih terlebih dulu sebelum boleh membuat rombakan lain termasuk menukar pemain.

“Saya ingat dulu ketika mula-mula memegang jawatan Presiden, beberapa nama ada dicadangkan untuk menjadi ketua jurulatih namun nama Dollah juga terpilih.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada pemain saja atas aksi yang tidak bermaya sebab pemilihan pemain ini dibuat oleh jurulatih (Dollah) juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 9:55 AM