SYEDA Ghulam Fatima.
SYEDA Ghulam Fatima.
PETANI yang terpaksa menjadi buruh demi menyelamatkan nyawa kakaknya.
PETANI yang terpaksa menjadi buruh demi menyelamatkan nyawa kakaknya.
PETANI ini dan keluarga dari Lahore yang dijual dengan harga lebih RM81,000.
PETANI ini dan keluarga dari Lahore yang dijual dengan harga lebih RM81,000.
BATU bata yang menjadi keluaran utama di Pakistan.
BATU bata yang menjadi keluaran utama di Pakistan.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Ia antara cerita yang menyayat hati apabila seseorang terpaksa menjadi hamba untuk membayar hutang yang sebenarnya sudah dilangsaikan.

Kisah mereka begitu menyentuh sehingga seorang wanita sanggup memperjuangkan perkara itu untuk membebaskan mereka. Malah, dalam beberapa hari, puluhan ribu orang mendermakan wang yang kini berjumlah lebih RM8,496,200 kepada Bonded Labour Liberation Front iaitu sebuah pertubuhan kecil di Lahore bagi menghentikan buruh paksa di Pakistan.

Ia bermula dengan gambar pengasas kumpulan itu, Syeda Ghulam Fatima berdiri dalam pakaian kuning dengan latar tanah merah dan batu bata. Gambar itu dihantar ke laman Facebook (FB) ‘Humans of New York’ oleh jurugambar Brandon Stanton untuk mendokumentasikan kehidupan biasa New York.

“Digambarkan sebagai Harriet Tubman moden, Fatima mengabdikan hidupnya untuk mengakhiri buruh paksa sehingga pernah melalui detik dramatik ditembak, dikenakan kejutan elektrik dan dipukul beberapa kali,” kata Stanton menerusi laman HONY di FB.

Stanton turut mencatatkan kisah mengejutkan pekerja yang bergelut setiap hari bekerja di tanur bata di Pakistan untuk membayar hutang.

“Ia seperti pasir jerlus kerana pekerja dibayar RM8.17 setiap 1,000 batu bata tetapi hutang terus meningkat.

“Pemilik bata tanur turut mendapat keuntungan dan mereka jual kepada kita. Hanya 10 hari lalu, saya dan keluarga dijual dengan harga lebih RM81,000,” kata seorang lelaki yang tidak disebut namanya dari Lahore.

Penyalahgunaan kuasa pemilik tanur

Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, jutaan penduduk Pakistan yang paling miskin tidak mempunyai wang untuk membayar hutang kepada majikan.

Menurut Stanton kepada CNN Richard Quest, penyalahgunaan itu diteruskan pemilik tanur kaya untuk beroperasi dengan sewenang-wenangnya walaupun bertentangan dengan undang-undang buruh paksa Pakistan.

“Batu bata adalah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Pakistan dan mereka yang memiliki tanur bata dianggap kaya raya.

“Kebanyakan petani buta huruf dan miskin, justeru mereka mudah ditipu untuk mengambil pinjaman yang kecil sebagai pertukaran untuk bekerja dalam tempoh yang lama di tanur bata.

“Apabila tempoh bekerja selesai, mereka bertemu pemberi hutang untuk meninggalkan kerja kerana menganggap hutang sudah selesai tapi amat mengejutkan apabila mereka dilarang berbuat demikian sebaliknya dipaksa terus bekerja kerana hutang belum langsai sebaliknya semakin meningkat,” kata Stanton.

Seorang buruh paksa yang diselamatkan menceritakan kisah sedihnya.

“Kakak saya sakit buah pinggang yang kritikal, justeru kami mengumpulkan wang untuk mengubatinya. Kami jual ternakan, harta dan segala yang ada. Apabila tiada lagi wang, kami terpaksa meminjam RM204.19 daripada tanur bata. Saya fikir saya boleh membayar kembali selepas bekerja 15 atau 20 hari.

“Tapi apa yang berlaku, dalam masa beberapa minggu pinjaman itu meningkat RM449.21, RM1,225.12 dan sekarang jumlahnya RM14,293.05.

“Kakak saya sudah meninggal dunia tapi kami terpaksa mewarisi hutang itu selama,” katanya.

CNN cuba mendapatkan komen kerajaan Pakistan tetapi sehingga artikel ini diterbitkan masih tiada jawapan.

Pada awal 1990-an, Pakistan memperkenalkan Akta ‘Bonded Labour System (Abolition)’, termasuk hukuman penjara dan denda kepada pesalah. Pada masa lalu, beberapa tindak balas kepada laporan CNN mengenai isu itu dengan menyenaraikan langkah-langkah praktikal yang diambil untuk melindungi pekerja.

Bagaimanapun, menurut laporan terbaru ILO - dan keterangan pekerja, masalah itu masih berterusan.

Pakistan Institute of Labour Education and Research (PILER) memberitahu CNN hanya seorang sudah disabitkan sejak akta itu berkuat kuasa pada 1992.

Jurucakap PILER berkata, ia menganggarkan terdapat 10 hingga 12 juta orang dalam tenaga buruh terikat di Pakistan, kira-kira 191 juta daripada populasi penduduk.

Misi Fatima

Selama bertahun-tahun, Fatima dan suaminya berjuang untuk membebaskan buruh paksa yang terperangkap. Pada satu ketika, dia terpaksa berpakaian koyak-rabak untuk mencari seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang ditangkap pemilik tanur kerana keluarganya cuba melarikan diri.

Selepas beberapa hari mencari, mereka mendengar tangisan dari rumah pemilik tanur dan pergi ke mahkamah untuk menuntut tindakan daripada polis. Pegawai polis menggeledah rumah, menemui gadis itu yang enggan makan, bercakap dan menangis selama beberapa minggu.

“Gadis itu memberitahu Fatima, setiap kali dia menangis untuk makan, pemilik akan memukulnya,” Stanton menulis.

Selepas kisah Fatima disiarkan di FB, dana ‘Let’s Help Fatima End Bonded Labor’ mencatat kutipan kira-kira RM4.25j dalam tempoh 12 jam dan dalam masa 72 jam, ia menjadi dua kali ganda.

“Melalui wang itu, Fatima berusaha membebaskan buruh paksa dari pemilik tanur,” Stanton menulis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 11:53 AM