RUMAH yang menjadikan tempat penampungan sementara 28 lelaki warga asing yang diselamatkan semalam sebelum dihantar ke tempat lain bagi tujuan pemerdagangan. FOTO ihsan PDRM
RUMAH yang menjadikan tempat penampungan sementara 28 lelaki warga asing yang diselamatkan semalam sebelum dihantar ke tempat lain bagi tujuan pemerdagangan. FOTO ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


POLIS menyelamatkan 28 lelaki warga asing yang disyaki mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh paksa di sebuah rumah di Taman MBI Desaku, Padang Serai, di Kulim, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas rumah terbabit dilakukan pada 2.30 pagi selepas menerima maklumat awam.

"Mereka yang diselamatkan terdiri daripada 13 warga Bangladesh, lapan warga India dan tujuh warga Pakistan berumur antara 21 hingga 44 tahun.

"Kesemua mereka dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sapii berkata, siasatan awal mendapati mereka dikatakan baru tiba dari Kuala Lumpur dan diletakkan sementara di rumah itu sebelum dihantar ke tempat lain bagi tujuan pemerdagangan untuk bekerja sebagai buruh paksa.

Katanya, ketika serbuan dibuat, seorang lelaki disyaki penjaga rumh berkenaan berjaya melarikan diri dengan masuk ke kawasan hutan berhampiran jalan Kulim-Baling.

"Lelaki terbabit turut meninggalkan sebuah kereta pacuan empat roda dan pihak polis masih mengesan pemilik kenderaan itu untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 1:37 PM