Oleh Michelle Gun


Buat pertama kali, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal melangsungkan Pameran Pelesenan Karakter dan Kreatif di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 2015 pada 27 hingga 29 Ogos ini.

Pameran itu bersempena acara KL Converge! 2015 dan akan menampilkan harta intelek studio animasi tanah air dan luar negara yang bersedia untuk dilesenkan.

Acara itu dijangka menarik penyertaan agensi pelesenan, peruncit, pengilang dan pengedar. Jualan barangan eksklusif pula hanya dibuka pada hari terakhir pameran.

Antara aktiviti yang menjadi tarikan utama adalah penampilan khas watak animasi popular tanah air dan luar negara seperti Upin & Ipin, BoBoiBoy, Ummi, Chuck Chicken, Ryujin Juwara, Dibo the Gift Dragon, Bola Kampung, Ana Muslim dan Eori.

Selain itu, tayangan eksklusif filem tempatan dan antarabangsa, persidangan kandungan kreatif serta sesi MyDoc Pitching juga bakal menanti pengunjung.

Bagi menghangatkan lagi acara, FINAS akan menganjurkan pertandingan kostum Cosplay dan fotografi pada Sabtu ini.

Pemenang berpeluang membawa pulang hadiah jam tangan jenama Apple dan kamera GoPro.

Ketua Pengarah FINAS Datuk Kamil Othman berkata, pameran KL Converge! 2015 adalah landasan terbaik bagi penggiat seni tanah air memperkenalkan produk serta meneroka peluang perniagaan.

“Bukan itu sahaja, mereka boleh saling berkongsi idea dan pengalaman, selain membuka peluang menjalin kerjasama dengan pencipta kandungan dari negara lain,” katanya.

Menurutnya, FINAS juga akan bekerjasama dengan Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) membawa 40 pembeli kandungan terkemuka antarabangsa bagi mengambil bahagian dalam 600 sesi pemadanan perniagaan dengan syarikat tempatan.

“Syarikat terbabit berpeluang mengetahui lebih banyak maklumat mengenai insentif baru yang ditawarkan di FINAS Pavilion seperti Dana Produksi Bersama.

“Dana itu bagi membantu membiayai projek yang bakal dihasilkan penggiat seni bersama kerjasama syarikat tempatan dengan syarikat asing,” katanya.

Kamil berkata, usaha itu bukan saja memberi pendedahan kepada pembeli kandungan global malah mewujudkan peluang perolehan harta intelek, memperolehi perkongsian pelesenan, dan kolaborasi antara produksi.

Antara pembeli kandungan antarabangsa yang bakal mengambil bahagian adalah TV 5 Network (Kemboja), Hunan Radio & TV (China), Turner International Asia/Cartoon Network Asia (Hong Kong), MNC (Indonesia), TV Global (Indonesia), OSN (UAE), Tokyo Broadcasting System (Jepun), Educational Broadcasting System (Korea), Discovery Network Asia, VTV Education (Vietnam), IRIB Media Trade (Iran) danKantana Group (Thailand).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:16 AM