ARTIS dan wakil dari Malaysia dan Jepun pada showcase kandungan inovasi terbitan bersama.
ARTIS dan wakil dari Malaysia dan Jepun pada showcase kandungan inovasi terbitan bersama.
Oleh Michelle Gun


Berikutan kejayaan program bercorak permainan Find The Wasabi dan Welcome To The Rail World Japan, Media Prima Berhad dan syarikat produksi dari Jepun sudah mempunyai perancangan untuk meneruskan kolaborasi pada masa akan akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Kamal Khalid berkata, syarikat itu sentiasa peka dengan kandungan segar untuk menghasilkan program

menarik.

“Kami perlu memastikan produksi syarikat dapat menerbitkan kandungan berkualiti dan menarik kepada penonton.

“Justeru, hubungan kerjasama MPB dengan produksi Jepun semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu dan kali ini menerusi dua program yang sudah disiarkan di televisyen tanah air,” katanya.

Beliau berkata, kolaborasi itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pendapat dan informasi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada produksi Jepun di atas kolaborasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri showcase kandungan inovasi yang menumpukan kerjasama penerbitan Malaysia dan Jepun baru-baru ini.

Showcase itu dikendalikan MPB, Nippon Television Network Corporation, Tokyo Broadcasting System, Sumitomo Corporation dan Persatuan Eksport Program Siaran Jepun (BEAJ).

Majlis itu dirasmikan Ketua Pegawai Pembangunan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Hadir sama, Naib Menteri Penyelarasan Dasar (Hal Ehwal Antarabangsa) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Yasuo Sakamoto.

Sakamato berkata, kolaborasi itu memberi peluang kepada penonton di negara ini untuk menyaksikan keunikan dan keindahan Jepun.

“Penonton didedahkan dengan tarikan, teknologi canggih dan perkhidmatan seperti pengangkutan awam dan hospitaliti di Jepun.

“Kami berharap hubungan kerjasama ini akan berterusan pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 10:47 AM