KAMIL.
KAMIL.
Oleh Michelle Gun


Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menawarkan lebih 1,600 jam kandungan kreatif pelbagai genre kepada penggiat seni dalam dan luar negara.

Jumlah itu mencatatkan rekod baru berikutan penyertaan Malaysia di Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) yang bakal berlangsung di Cannes, Perancis dari 5 hingga 8 Oktober ini.

Kandungan kreatif yang ditawarkan adalah untuk filem, animasi, siri televisyen dan dokumentari.

Penyertaan itu bertujuan menjual dan mendapatkan kerjasama untuk menghasilkan projek karya.

Tahun ini, delegasi Malaysia ke MIPCOM membabitkan 25 syarikat tempatan dan rombongan itu akan diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Animasia Production, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Giggle Garage, Inspidea, Primeworks Studio, Juita Viden, Big Tent Entertainment, GO Asean, Mirayi dan Lokalab.

Pada pameran itu nanti, FINAS akan memperkenalkan beberapa filem tanah air terbaik yang memenangi anugerah seperti Lelaki Harapan Dunia, Lagenda Budak Setan 3, dan KL Gangster 2.

Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman berkata, industri keatif tanah air bakal berkembang maju menerusi kerjasama dengan produksi antarabangsa.

“FINAS berharap pada masa depan, pencipta harta intelek tempatan boleh mengembangkan karya mereka kepada penjualan hak cipta, kandungan mudah alih serta dalam bentuk cenderamata, permainan dan taman tema,” katanya.

Sementara itu, Insentif Perfilemen di Malaysia (FIMI) mencatatkan peningkatan perbelanjaan penerbitan dalam negara sebanyak RM335 juta pada tahun lalu berbanding RM149 juta pada 2013.

FIMI berjaya menarik 21 produksi dengan 16 daripadanya syarikat luar negara, seterusnya mengharumkan nama Malaysia sebagai destinasi terbaik dalam menyediakan infrastuktur serta bakat bertaraf antarabangsa.

Pasaran animasi turut meraih peningkatan sehingga mencecah lebih RM608 juta pada akhir tahun lalu berbanding RM200 juta sebelum pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Penerbitan animasi antara penyumbang terbesar eksport industri kreatif dan sejak sedekad lalu, Malaysia sudah menghasilkan banyak filem dan siri animasi bertaraf antarabangsa seperti Supa Strikas, BoBoiBoy, Upin & Ipin, Chuck Chicken, Rimba Racer dan Hogie the Globehopper.

Selain itu, negara turut mengeksport animasi kepada penerbit antarabangsa seperti Cartoon Network, Disney Channel, Nickelodeon dan TOMY.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:03 AM