AFP

Liverpool, England: Kemewahan Manchester City akan menjadi bahan pertunjukan di Everton malam ini apabila pemain baru berharga £32 juta (RM209.5j) Nicolas Otamendi akan memulakan kariernya bersama City di bangku simpanan.

Otamendi menyertai City dari Valencia Khamis lalu menerusi kontrak lima tahun untuk menjadi pembelian utama ketiga pada musim perpindahan, menjadikan jumlah perbelanjaan kelab itu sebanyak £100j (RM654.7j).

Namun pengurus Manuel Pellegrini mengesahkan pemain Argentina berusia 27 tahun perlu menunggu untuk menggantikan tempat kapten Vincent Kompany atau lebih tepat bekas rakan sepasukannya di Porto, Eliaquim Mangala yang menjadi pertahanan termahal dalam sejarah bola sepak Britain iaitu £42j (RM274.9j) tahun lalu.

“Pada ketika ini, dengan cara permainan kami, mustahil untuk mengetepikan Kompany dan Mangala daripada posisi mereka, begitu juga dengan pemain lain,” kata Pellegrini, di mana anak buahnya menewaskan juara bertahan Chelsea hujung minggu lalu untuk memastikan kemenangan 3-0 dua minggu berturut-turut.

“Mereka di tahap terbaik. Kami tidak bolos satu gol pun dalam dua perlawanan terakhir. Kami terus bermain dengan pemain sama.”

City akan menyamai rekod kelab dengan sembilan kemenangan liga berturut-turut jika mereka menang di Everton tetapi Pellegrini lebih berminat mengekalkan rekod cemerlang mereka musim ini.

“Adalah penting untuk mendapatkan tiga lagi mata. Adalah amat penting untuk terus mengekalkan rentak permainan seperti dua perlawanan pertama kerana kami perlu konsisten sepanjang musim.

“Jika itu rekod baru, bagi saya ia tidak penting.”

City akan menurunkan pemain baru mereka Fabian Delph buat kali pertama selepas pemain tengah England itu pulih daripada kecederaan hamstring.

Bagaimanapun bek kanan Pablo Zabaleta tidak akan beraksi selama sebulan berikutan kecederaan lutut yang dialami ketika latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:05 AM