MANGALA (kanan) bergelut pada permulaan karier di Etihad.
MANGALA (kanan) bergelut pada permulaan karier di Etihad.
AFP

Liverpool, England: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini percaya pertahanan Perancis, Eliaquim Mangala mampu bangkit daripada permulaan buruk dengan membantu kelabnya itu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City dilaporkan berbelanja sebanyak £32 juta (RM124 juta) untuk mendapatkan Mangala dari Porto musim lalu dalam usaha kelab itu mencari pengganti Vincent Kompany yang berdepan kecederaan panjang.

Bagaimanapun, Mangala yang membuat penampilan lima kali bersama Perancis, bergelut dengan prestasi dan tidak memberikan banyak impak ketika pasukannya seri 1-1 bertemu Everton di Goodison Park kelmarin.

Pellegrini enggan mengulas lanjut mengenai prestasi pemain pertahanannya itu tetapi berharap dia akan mengikut jejak langkah pertahanan tengah Argentina, Martin Demichelis yang turut mempamer aksi hambar pada awal musim tetapi cemerlang membantu kelab itu memenangi gelaran liga.

“Saya sentiasa memerhati aksi setiap pemain,” kata Pellegrini merujuk kepada Mangala.

“Saya harap dia dapat mengikuti apa yang dilakukan Demichelis tahun lalu. Dia mula mempamerkan peningkatan dan menjadi antara pemain utama kami,” jelasnya.

City mendominasi babak pertama di Everton tetapi gagal untuk meledak gol. Bagaimanapun selepas pemain tengah Fernandinho menanduk masuk pada minit ke-74, kedudukan itu hanya bertahan selama empat minit sebelum Steven Naismith menyamakan kedudukan.

Kegagalan untuk menyempurnakan banyak peluang terbaik pada separuh masa pertama cukup merisaukan Pellegrini.

“Kami mendominasi perlawanan terutama pada separuh masa pertama. Tapi bila anda gagal menjaringkan gol meskipun banyak peluang, sukar untuk anda mencatat kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:50 AM