TOURE
TOURE

London: Yaya Toure berharap pengurus Manchester City Manuel Pellegrini menemui resipi untuk kejayaan di bahagian serangan menjelang kunjungan ke Tottenham malam ini.

Permulaan cemerlang Pellegrini musim ini dihambat kekalahan berturut-turut di tempat sendiri kepada Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara dan West Ham dalam Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, kemenangan besar 4-1 ke atas Sunderland sewaktu Piala Liga kelmarin membayangkan keyakinan pasukan sudah kembali pulih.

City mencatat purata dua gol setiap perlawanan Liga Perdana Inggeri tetapi Toure, pemain tengah Ivory Coast yakin pasukan pendahulu itu akan menjaringkan lebih banyak gol sebaik pemain baru Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne berjaya menyesuaikan diri.

“Di Afrika, kami katakan ia seperti mayonis, kita semua diadun bersama,” kata Toure.

“Memang sukar pada masa ini kerana kami baru saja membeli pemain seperti De Bruyne dan Sterling.

“Kami perlu pastikan mereka berasa seperti sebahagian daripada pasukan.”

Pellegrini mengetengahkan skuad terkuat di Sunderland dan hanya membuat tiga pertukaran, satu daripadanya terpaksa dilakukan apabila bek tengah Eliaquim Mangala mengalami kecederaan otot ketika perlawanan Sabtu lalu.

Tahap kecergasan Mangala akan dinilai sebelum kunjungan ke White Hart Lane begitu juga dengan bek tengah Vincent Kompany, yang terlepas dua perlawanan sejak mengalami kecederaan betis ketika menentang Juventus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:06 AM