Bangkok: Pemimpin junta Thai Prayut Chan-O-Cha berkata, dia mungkin melantik adiknya menjadi panglima tentera baru, antara jawatan paling berpengaruh di negara yang sering berlaku rampasan kuasa tentera.

Prayut yang kini perdana menteri memegang jawatan panglima tentera pada Mei lalu apabila dia merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih menerusi pilihan raya.

Dia semalam mempertahankan keputusan untuk menimbang adiknya, Pree-
cha Chan-O-Cha bagi memegang jawatan berkenaan.

Preecha ketika ini memegang jawatan timbalan panglima.

Kementerian pertahanan dijangka mengemukakan nama calon untuk jawatan itu tidak lama lagi.

Hanya Preecha dan seorang lagi timbalan panglima, Teerachai Nakvanich memohon jawatan berkenaan.

“Apa masalahnya dengan adik saya?” tanya Prayut kepada wartawan di Bangkok ketika ditanya mengenai kemungkinan Preecha terpilih.

Menurut Prayut, adiknya naik pangkat dalam tentera bukan kerana campur tangannya.

“Dia tidak pernah meminta bantuan saya. Saya juga tidak bimbang kemungkinan digulingkan. Saya gembira jika dapat menyerahkan kuasa,” kata Prayut yang menolak khabar angin mengenai kemungkinan ada rampasan kuasa jika
Preecha dilantik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:02 AM