Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha. FOTO AFP
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, berjaya mengatasi cabaran perundangan yang hampir menyaksikannya kehilangan kuasa, selepas berada dalam tekanan susulan bantahan jalanan sejak beberapa bulan lalu.

Mahkamah perlembagaan negara itu, dibarisi sembilan anggota memutuskan Prayut tidak bersalah apabila masih menghuni kediaman tentera walaupun selepas tidak lagi berkhidmat dalam pasukan berkenaan.

"Status Jeneral Prayut Chan-O-Cha sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kekal tidak berubah," kata ketua hakim.

Mahkamah memutuskan bahawa status Prayut sebagai Perdana Menteri membenarkannya untuk menetap di kediaman itu, walaupun berundur dari jawatan ketua tentera pada 2014.

Keputusan berkenaan walaupun sudah dijangka, berkemungkinan besar akan menyemarakkan lagi gerakan bantahan yang menggoncang Thailand sejak Julai, mendesak agar Prayut melepaskan jawatan.

Ketika penghakiman dibacakan, penunjuk perasaan berhimpun di persimpangan utama di utara Bangkok.

"Saya tidak terkejut kerana saya percaya, mahkamah menerima arahan peringkat atasan dan tidak adil.

"Sejak dahulu, mereka selalu membuat keputusan tanpa memikirkan perasaan rakyat," kata seorang penuntut sarjana, Reeda, 26, ketika ditemui di Lat Phrao.

Menurut hakim, pihak tentera mengubah status kediaman berkenaan, daripada rumah milik tentera kepada rumah tetamu pada 2012, maka secara teknikal, defendan tidak lagi menghuni premis milik tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:11 PM