Prayut Chan-O-Cha. - FOTO AFP
Prayut Chan-O-Cha. - FOTO AFP
AFP

Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha yang digantung tugas sebelum ini, boleh menyambung semula pentadbirannya.

Hakim, Punya Udchacon, berkata ini kerana tempoh pentadbiran Prayut belum mencapai had penggal selama lapan tahun.

"Mahkamah Perlembagaan memutuskan dengan majoriti bahawa jawatan Perdana Menteri tidak mencapai had lapan tahun.

"Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri dikira mulai 6 April 2017," katanya ketika membacakan keputusan itu.

Bekas ketua tentera itu, yang berkuasa dalam rampasan kuasa tentera pada 2014, digantung tugas bulan lalu berikutan mahkamah perlu meneliti cabaran undang-undang dibuat parti pembangkang selepas Prayut didakwa sudah mencapai had penggalnya.

Susulan keputusan mahkamah itu, pihak berkuasa Bangkok kini sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya demonstrasi selepas beberapa kumpulan penunjuk perasaan memberi amaran mahu turun ke jalan raya jika Prayut memenangi kes berkenaan.

Berdasarkan Perlembagaan Thailand 2017, seorang Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat lebih daripada lapan tahun, namun penyokong dan pengkritik Prayut tidak bersetuju mengenai tempoh sebenar pentadbirannya bermula.

Keputusan mahkamah itu mengira tempoh Prayut sejak Perlembagaan baharu apabila tentera berkuat kuasa, sekali gus bermakna Prayut boleh kekal memegang jawatan sehingga 2025.

Ia bagaimanapun bergantung kepada pilihan raya nasional akan datang, yang mesti diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Susulan penggantungan tugas Prayut pada Ogos, timbalannya, Prawit Wongsuwan mengambil alih sebagai pemangku Perdana Menteri, manakala Prayut terus berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan.

Penganalisis politik Universiti Naresuan, Napisa Waitoolkiat berkata, penggantungan itu merosakkan reputasi Prayut, termasuk menyebabkan beliau hilang kepercayaan dalam kalangan pengundi.

Napisa berkata, Prayut dan partinya, Palang Pracharat semakin tidak disenangi oleh pengundi, kerana ekonomi Thailand disifatkan tidak menunjukkan prestasi yang baik sekali gus menjejaskan isi rumah.

"Mungkin akan ada rakyat yang marah terhadap keputusan ini berikutan ia memihak kepada Prayut.

"Saya fikir akan ada protes di jalanan dan demonstrasi di Bangkok menentang keputusan itu," katanya.

Tinjauan terhadap 2,500 orang awal bulan ini oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara mendapati hanya 10.5 peratus responden menyokong Prayut, sekali gus menyebabkan beliau menduduki tempat keempat paling rendah sebagai calon berpotensi Perdana Menteri.

Sekurang-kurangnya tiga kumpulan protes yang terkenal semasa perhimpunan besar-besaran prodemokrasi 2020, akan mengadakan demonstrasi sekiranya Prayut meneruskan pentadbiran.

Jurucakap Timbalan Ketua Polis Negara, Kissana Phathanacharoen, memberitahu AFP bahawa pegawai anggota keselamatan itu akan dikerahkan untuk menyediakan kawalan berhampiran mahkamah dan di daerah pusat beli-belah Bangkok, iaitu lokasi popular untuk bantahan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 5:49 PM