Baitulmaqdis: Seorang tahanan Palestin yang mogok lapar di sebuah penjara Israel sejak 50 hari lalu dilapor di ambang maut, semalam.

Seorang pegawai Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, keadaan Mohammed Allaan kini amat kritikal dan menggesa rejim Zionis membenarkan keluarganya melawat.

“Kami percaya keadaan Mohammed kini begitu kritikal. Keluarganya tidak dibenarkan melawatnya sejak 22 Mac lalu dan mereka begitu terdesak untuk mengetahui keadaannya.

“Kami meminta pihak berkuasa Israel membenarkan mereka mengunjunginya,” kata ketua perwakilan ICRC di Israel dan wilayah Palestin yang dijajah, Jacques de Maio.

Parlimen Israel bulan lalu meluluskan undang-undang membenarkan banduan yang mogok lapar diberi makan secara paksa walaupun dikecam kumpulan hak asasi dan doktor.

Walaupun undang-undang itu tidak menyebut secara khusus warga Palestin, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Gilard Edan berkata, undang-undang itu perlu kerana mogok lapar kini menjadi cara untuk mengancam Israel. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:05 AM