PENUNJUK perasaan Palestin menjulang gambar dan menggesa pembebasaan Mohammed Allaan ketika mengadakan demonstrasi di luar pusat perubatan Israeli Barzilai, Israel, tempat Mohammed dirawat.
PENUNJUK perasaan Palestin menjulang gambar dan menggesa pembebasaan Mohammed Allaan ketika mengadakan demonstrasi di luar pusat perubatan Israeli Barzilai, Israel, tempat Mohammed dirawat.

Baitulmaqdis: Peguam seorang penduduk Palestin yang melancarkan mogok lapar sejak sembilan minggu lalu bagi membantah penahanan tanpa bicara terhadap dirinya membawa kes itu ke Mahkamah Agung Israel semalam.

Tindakan itu diambil selepas barisan peguam Mohammed Allaan menolak cadangan terbaru Israel yang mahu lelaki berkenaan hidup dalam buangan sebagai syarat pembebasannya.

Seorang peguam Mohammed, Jameel Khatib berkata, pihaknya menghantar petisyen ke Mahkamah Agung Israel bagi mendesak lelaki itu dibebaskan segera tanpa syarat.

Mohammed, 31, kini tidak sedarkan diri dan dirawat di sebuah hospital di Israel dan keadaannya dipantau oleh Pihak Berkuasa Palestin yang memberi amaran keganasan mungkin tercetus sekiranya lelaki itu meninggal dunia.

Israel melihat mogok lapar oleh Mohammed satu cabaran hebat terhadap undang-undang tahanan tanpa bicara atau lebih dikenali sebagai tahanan pentadbiran.

Amalan itu dikecam hebat oleh pihak Palestin dan kumpulan hak asasi manusia tetapi Israel mendakwa ia keperluan keselamatan.

Jameel berkata, Mohammed tidak memberi sebarang ancaman terhadap keselamatan kerana keadaannya yang kini kritikal.

Bagaimanapun, Israel bimbang sekiranya Mohammed dibebaskan tanpa syarat ia akan mendorong ratusan lagi tahanan Palestin melancarkan mogok lapar.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan dalam laman Twitter miliknya menganggap petisyen berkenaan sebagai mengarut kerana tindakan Mohammed sendiri menyebabkan dia berada dalam keadaan kritikal.

Selepas petisyen itu didengar di mahkamah tertinggi Israel itu, Kementerian Undang-Undang berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk membebaskan Mohammed sekiranya dia bersetuju hidup dalam buangan di luar negara selama empat tahun.

Hakim Mahkamah Agung tidak membuat sebarang keputusan tetapi menggesa kedua belah pihak berunding sebelum hadir untuk satu lagi perbicaraan esok. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:10 AM